BOGOTA: Jamaica memutuskan untuk mengiktiraf secara rasmi Negara Palestin semalam berikutan perbincangan dalam Kabinet pada hari sebelumnya, lapor Agensi Anadolu (AA).
“Jamaica terus menyokong penyelesaian dua negara sebagai satu-satunya pilihan yang berdaya maju untuk menyelesaikan konflik (Israel-Palestin) yang telah lama berlarutan, menjamin keselamatan Israel dan menegakkan maruah dan hak rakyat Palestin.
“Dengan mengiktiraf Negara Palestin, Jamaica mengukuhkan sokongannya ke arah penyelesaian damai,” kata Menteri Luar dan Perdagangan Luar Kamina Johnson Smith dalam satu kenyataan akhbar.
“Keputusan itu selaras dengan komitmen kukuh Jamaica terhadap prinsip-prinsip Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, yang bertujuan mewujudkan saling menghormati dan hidup berdampingan secara aman dalam kalangan negara-negara serta pengiktirafan hak rakyat untuk penentuan nasib sendiri,” katanya.
Johnson Smith mengesahkan sokongan Jamaica untuk gencatan senjata, pembebasan tebusan dan akses kepada bantuan kemanusiaan untuk penduduk Gaza.
”Jamaica terus menyokong semua usaha untuk meredakan konflik dan mewujudkan keamanan yang berkekalan di rantau ini, mendorong semua pihak untuk mempertimbangkan akibat buruk konflik selanjutnya dan komited kepada penyelesaian diplomatik memastikan keselamatan dan kedaulatan semua,” katanya.
Jamaica kini menyertai kira-kira 140 negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan 11 negara Komuniti Caribbean (CARICOM) yang telah mengiktiraf Negara Palestin, termasuk Ecuador, Mesir, India, Iceland, Romania, Poland, Burundi, Thailand, Tanzania, Iraq, Sweden, Rusia, Guyana, Haiti, Suriname, Cuba dan Republik Dominican.
CARICOM berkata pada 9 Oktober tahun lepas bahawa ia “membenci serangan di Israel dan serangan balas di wilayah Palestin di Gaza” dan 12 negaranya mengundi resolusi Perhimpunan Agung PBB yang menyokong “usaha berterusan PBB ke arah penyelesaian dua negara sebagai cara terbaik untuk mencapai keamanan, keselamatan dan ketenangan yang menyeluruh antara Israel dan Palestin.”
“Keadaan yang teruk iaitu rakyat Palestin hidup dalam penjajahan yang sebenar dan rasa tidak selamat di pihak Israel akan menyumbang kepada kitaran keganasan sehingga realiti itu ditangani secara muktamad,” menurut kenyataan CARICOM.
Perdana Menteri Jamaica Andrew Holness telah menunjukkan solidariti dengan Israel dan menggesa permusuhan dihentikan dan kembali kepada keamanan dalam garis panduan yang dipersetujui di peringkat antarabangsa, tetapi beliau enggan mengulas serangan Israel ke atas Gaza. – Bernama -Anadolu