SHAH ALAM: Kementerian Komunikasi dan Multimedia akan melihat kemungkinan untuk menyediakan perkhidmatan Internet atau rangkaian jalur lebar secara percuma di institut-institut pengajian tinggi dalam negara.
Timbalan Menterinya,Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, ia adalah penting bagi meringankan beban yang ditanggung pelajar terutamanya kepada mereka yang tidak berkemampuan untuk melanggan perkhidmatan Internet.
“Kita bercadang dan mahu berbincang mengenai bagaimana kita boleh realisasikan penyediaan Internet atau ‘Wi-Fi’ percuma di semua kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM).
“Pada masa yang sama, kita juga mahu ia dipanjangkan kepada institut pengajian tinggi lain agar dapat mengurangkan perbelanjaan besar yang terpaksa ditanggung pelajar, sekali gus membantu mereka yang susah,” katanya semalam.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penutup Persidangan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UiTM Se-Malaysia Sesi 2019/2020 di sini.
Zahidi berkata, adalah penting untuk memperkasakan penggunaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) dalam kalangan pemimpin mahasiswa dan juga pelajar memandangkan landskap dunia yang sudah berubah kepada digital selain bakal pemimpin negara perlu bijak ICT. – Bernama