SIMANGGANG: Bendera Jalur Gemilang dan bendera Sarawak berkibar dengan penuh gah di sekitar kawasan Kampung Masjid Baru di sini.
Seramai 20 penduduk kampung terbabit mengambil bahagian memasang kedua-dua bendera tersebut seawal minggu ini.
Jurucakapnya Zaidil Ripin ketika dihubungi berkata pemasangan bendera berkenaan dilaksana oleh penduduk kampung setiap kali berlangsungnya sambutan Bulan Kebangsaan di sini.
“Seluruh penduduk Malaysia akan meraikan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini. Seperti penduduk-penduduk lain, kami juga mahu mengambil peluang menzahirkan rasa kecintaan terhadap negara dengan memasang bendera-bendera ini di sekitar Kampung Masjid Baru.
“Justeru dengan berkibarnya bendera Jalur Gemilang di sini diharap agar semangat patriotisme dalam kalangan penduduk kampung dapat dipertingkat sempena sambutan Hari Kebangsaan,” katanya.
Zaidil juga mengajak seluruh penduduk supaya sama-sama menghayati erti sambutan Hari Kebangsaan meski pun tiada acara atau perhimpunan besar-besaran diadakan susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
“Ibu bapa mungkin boleh mengajak anak-anak supaya membaca artikel mengenai sejarah kemerdekaan negara atau melakukan aktiviti kecil seperti memasang bendera Jalur Gemilang di rumah.
“Patuhilah PKPP sepanjang masa. Jangan melanggar PKPP ketika meraikan sambutan Hari Kebangsaan kerana negara kita masih belum bebas daripada penularan pandemik Covid-19,” kata Zaidil.
Oleh Valentine Ngumbang