PREMIER Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menghadiri majlis sambutan Pesta Kuih Bulan dan sambutan ulang tahun anjuran Persatuan Pengimport dan Pengeksport Perdagangan China Kuching dan Konsulat Jeneral Republik Rakyat China di Kuching, semalam.
KUCHING: Jalinan pertumbuhan perdagangan dua hala antara Sarawak dan China akan terus berkembang dan menjadi antara penggerak utama Sarawak untuk menjadi negeri maju menjelang 2030.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, banyak projek infrastruktur di Sarawak kini diusahakan oleh syarikat China.
“Ia telah memberi sumbangan besar kepada pertumbuhan ekonomi negara kita, yang mana Sarawak juga menyumbang bahagian yang cukup besar.
“Nilai dagangan antara Sarawak dan China meningkat kepada RM27.045 bilion tahun lepas, manakala dagangan import merekodkan sebanyak RM8.4 bilion,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun ke-48 Persatuan Pengimport dan Pengeksport Perdagangan Kuching di sini, kelmarin.
Jelas Abang Johari, memandangkan Sarawak berjaya mendapatkan semula status sama rata Persekutuan Malaysia mengikut Perjanjian MA63 pada penghujung tahun lepas, kita mendapatkan semula hak milik kita di Sarawak, termasuk hak kita ke atas minyak dan gas dalam tempoh dua tahun yang lalu.
“Dengan mengenakan cukai jualan ke atas minyak dan gas, kami kembalikan untuk faedah rakyat Sarawak.
“Sebab itu kita ingin membantu rakyat Sarawak untuk mencapai sehingga RM6.8 bilion dan bulan lepas kita telah pun meningkat kepada RM1 bilion,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Persatuan Pengimport dan Pengeksport Perdagangan China Kuching yang merupakan kumpulan perniagaan yang berdedikasi mempromosikan perniagaan mesra dan pertukaran perdagangan dengan China yang memberi sumbangan besar kepada ekonomi Sarawak.
Terdahulu, Konsulat Republik Rakyat China di Kuching, Xing Weiping berkata Sarawak antara rakan dagangan teratas China bagi separuh pertama tahun ini.
“Sudah tentu, Kerajaan Sarawak memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi dan perdagangan antara China dan Malaysia khasnya Sarawak,” ujarnya.
Oleh AZREEN KERIA