PUSA: Kerosakan teruk di jalan utama menghubungkan Kampung Batang Maro bakal berakhir dengan pelaksanaan projek naik taraf jalan tersebut kini sedang rancak dilakukan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro, Razaili Gapor berkata, kerja menaik taraf jalan berkenaan yang bermula pada 13 Ogos lalu, memperuntukkan RM400,000 yang diluluskan oleh Kerajaan Sarawak bagi tujuan tersebut.
“Saya mengingatkan kepada kontraktor yang dilantik untuk mempercepatkan kerja menaik taraf jalan tersebut bagi memastikan keselamatan dan keselesaan penduduk.
“Keadaan jalan raya itu juga memaksa penduduk menggesa pelaksanaan projek terbabit disiapkan dalam masa terdekat untuk memudahkan perjalanan mereka ke Pekan Pusa dan Kabong,” katanya.
Razaili berkata, keadaan jalan tersebut menjadi lebih buruk apabila tiba musim hujan menyebabkan permukaan jalan becak dan licin.
“Keadaan ini boleh mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya dan saya mengambil tindakan dengan meminta peruntukan daripada Kerajaan Sarawak bagi tujuan menaik taraf jalan ini dengan segera,” ujarnya.
Beliau berkata, naik taraf jalan itu bukan sahaja mengakhiri penantian penduduk sejak sekian lama tetapi juga melonjak potensi ekonomi penduduk yang sebahagian besarnya pekebun, petani dan nelayan.
“Saya berharap selepas jalan ini dinaik taraf nanti akan memudahkan mereka menghantar hasil tani dan tangkapan sungai mereka ke pasaran dengan lebih cepat.
“Secara tidak langsung akan menaikkan sosio ekonomi mereka,” tegasnya.
Razaili memberi jaminan akan terus berusaha untuk mendapat peruntukan bagi melaksanakan projek sistem hubungan jalan yang baik untuk masyarakat kawasan pedalaman di Dewan Undangan Negeri (DUN) Beting Maro.
Oleh Adi Safarman