SPAOH: Projek pembinaan Jalan Ulu Paku–Ulu Kota bernilai RM247 juta dijangka menjadi pemangkin utama pembangunan kawasan pedalaman Sarawak apabila siap, termasuk memendekkan perjalanan antara Betong dan Sarikei kira-kira 50 kilometer.
Projek yang diluluskan kerajaan Sarawak itu merupakan sebahagian daripada jaringan Jalan Utama Kedua (STR) yang menghubungkan Ulu Paku dan Ulu Kota hingga ke arah Pakan.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas sebelum ini beberapa kali turun padang untuk meninjau perkembangan projek berkenaan.
Uggah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban turut menekankan kepentingan memastikan pelaksanaan projek berjalan mengikut perancangan bagi memberi manfaat maksimum kepada penduduk di kawasan pedalaman.
Selain memendekkan jarak perjalanan, laluan baharu itu bakal menyediakan alternatif perhubungan yang lebih baik serta memudahkan pergerakan penduduk antara kawasan Betong, Bukit Saban, Krian dan Pakan.
Kesan pembangunan itu dijangka turut dirasai sektor ekonomi apabila pengangkutan hasil pertanian menjadi lebih mudah, sekali gus membuka ruang kepada aktiviti perdagangan, pelaburan dan pembangunan komuniti.
Akses perhubungan yang lebih baik juga akan memudahkan penduduk mendapatkan kemudahan pendidikan, kesihatan dan perkhidmatan awam dengan lebih mudah dan pantas.
Dalam memastikan projek berjalan lancar, Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak berperanan sebagai agensi teknikal, manakala Kementerian Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan (MIPD) menyelaras agenda pembangunan infrastruktur strategik negeri.
Aspek pengambilan tanah turut diberi perhatian apabila kerajaan Sarawak melalui Jabatan Tanah dan Survei pada Disember 2024 membayar pampasan berjumlah RM408,106.70 kepada 48 penerima.
Pembayaran itu melibatkan pengambilan tanah bagi projek pembinaan Jalan Ulu Paku–Ulu Kota serta kerja menaik taraf Jalan Ulu Paku.
Bagi kawasan Bukit Saban, projek berkenaan bukan sekadar pembinaan jalan raya, sebaliknya membawa harapan baharu terhadap peningkatan kualiti hidup dan peluang ekonomi masyarakat.
Jaringan perhubungan yang lebih baik mampu menjadi pecetus kepada pertumbuhan ekonomi setempat, memperkukuh hubungan antara kawasan pedalaman serta mengurangkan cabaran akses yang selama ini dihadapi penduduk.
Dengan kerjasama DUN Bukit Saban, MIPD, JKR Sarawak dan agensi berkaitan, projek itu diharap menjadi antara pemacu penting pembangunan kawasan pedalaman.
Jalan Ulu Paku–Ulu Kota akhirnya membawa makna lebih besar daripada sekadar laluan baharu kerana projek itu membuka akses, memendekkan jarak dan memperluas peluang untuk rakyat.
Oleh Adi Safarman



