Jalan Ulu Awik dinaik taraf, penduduk bakal nikmati akses lebih selamat

Facebook
WhatsApp
FRIDAY Belik semasa menghadiri mesyuarat penyelarasan bagi projek naik taraf Jalan Ulu Awik, Saratok yang berlangsung di JKR Saratok, sebelum diteruskan dengan lawatan ke tapak projek, semalam. Foto: JKR Sarawak

SARATOK: Penduduk di sekitar Jalan Ulu Awik bakal menikmati kemudahan infrastruktur yang lebih baik apabila projek menaik taraf jalan berkenaan sepanjang 6.9 kilometer dilaksanakan di bawah Program Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian, Friday Belik berkata, perkara itu merupakan antara usaha berterusan kerajaan Sarawak dalam memastikan kemudahan asas khususnya jaringan jalan raya di kawasan luar bandar terus dipertingkatkan.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri mesyuarat penyelarasan bagi projek naik taraf Jalan Ulu Awik, Saratok yang berlangsung di Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Saratok, sebelum diteruskan dengan lawatan ke tapak projek.

Menurutnya, sesi berkenaan penting bagi memastikan semua pihak yang terlibat memahami skop kerja, perancangan serta keperluan pelaksanaan projek supaya ia dapat berjalan dengan lancar mengikut jadual ditetapkan.

Berdasarkan taklimat yang disampaikan wakil Pegawai Penguasa Projek, Ir. Ts. Muhammad Kashral Kamalmirza, projek tersebut membabitkan kerja menaik taraf jalan sedia ada sepanjang 6.9 kilometer kepada Piawaian Jalan JKR R3.

Selain itu, projek berkenaan turut merangkumi pembinaan atau penambahbaikan sembilan jalan penghubung bagi memperkukuh jaringan perhubungan antara kawasan penempatan dan laluan utama di sekitar Ulu Awik.

Projek yang dibiayai menerusi program BDDA itu dijadualkan siap pada pertengahan tahun 2027, sekali gus menjadi antara projek penting dalam usaha mempertingkatkan kemudahan infrastruktur luar bandar di Daerah Saratok.

Friday berkata, apabila siap sepenuhnya kelak, projek tersebut dijangka memberikan manfaat besar kepada penduduk khususnya komuniti yang tinggal di sepanjang Jalan Ulu Awik.

“Peningkatan kualiti jalan raya bukan sahaja mampu menyediakan laluan yang lebih selamat dan selesa, malah turut memudahkan pergerakan penduduk serta mengurangkan kesukaran mendapatkan akses ke kawasan sekitar.

“Kemudahan jalan yang lebih baik juga dijangka memberi impak positif kepada aktiviti ekonomi setempat, termasuk memudahkan urusan penghantaran hasil pertanian, pergerakan barangan serta akses penduduk kepada pelbagai kemudahan dan perkhidmatan,” katanya.

Beliau menegaskan kerajaan Sarawak kekal komited untuk memastikan setiap projek pembangunan khususnya di kawasan luar bandar dilaksanakan secara cekap, berkualiti dan mengikut jadual bagi memastikan peruntukan yang disediakan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat.

Turut hadir dalam sesi mesyuarat dan lawatan tapak itu, wakil JKR Bahagian Betong, Agensi Pembangunan Bahagian Betong, Pejabat Daerah Saratok, Majlis Daerah Saratok, Tuai-Tuai Rumah, Pusat Khidmat Krian serta pihak kontraktor.

Oleh Adi Safarman