
GEDONG: Kerajaan akan membangunkan jalan raya berkembar atau ‘dual carriageway’ dari Munggu Kopi, Serian melibatkan laluan ke Gedong hingga ke Samarahan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Datuk Openg berkata pembinaan laluan empat lorong ini akan meningkatkan aksesibiliti dan mempercepatkan pembangunan di kawasan Serian-Gedong-Samarahan.
Menurutnya, transformasi ini bukan sahaja menjanjikan perjalanan lebih lancar dan selesa, malah mengukuhkan lagi usaha untuk memupuk disiplin pengguna jalan demi keselamatan bersama.
“Tetapi janganlah guna jalan raya untuk berlumba, itu sahaja yang saya minta…saya (kerajaan) bina jalan raya adalah untuk kemudahan rakyat.
“Saya minta pengguna jalan raya ikutlah undang-undang dan jangan salah guna kemudahan yang dibangunkan oleh kerajaan,” tegasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutupan Program Bantuan Lesen Memandu (MyLesen), anjuran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak di Dewan Datuk Patinggi Ali, Gedong hari ini.
Dalam pada itu, Abang Johari turut menyempurnakan simbolik penyerahan replika lesen memandu B2 kepada empat penerima tertua dan termuda dalam kalangan peserta di daerah ini.
Program tersebut kemudian diteruskan dengan majlis berbuka puasa di Masjid Al Kawthar, Gedong disusuli solat Maghrib, Isyak dan Tarawih secara berjemaah.
Pada majlis sama, Premier Sarawak turut menyampaikan sumbangan kepada beberapa masjid dan surau di kawasan Gedong.
Turut hadir Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah, Timbalan Menteri Pembangunan Infrastruktur Datuk Ir Aidel Lariwoo, Ahli Parlimen Batang Sadong Rodiyah Sapiee, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan Awla Dris, Ketua Pengarah JPJ Malaysia Datuk Aedy Fadly Ramli, Pengarah JPJ Sarawak Norizan Jili, Residen Bahagian Samarahan Mohamad Irwan Bahari Bujang serta dif-dif kenamaan lain. – UKAS