
SIBURAN: Jalan pertanian yang baharu siap dibina di Siburan dijangka menjadi pemacu utama pembangunan ekonomi luar bandar, khususnya memberi manfaat kepada para petani tempatan.
Timbalan Menteri Pengangkutan (Udara dan Jalan), Datuk Dr. Jerip Susil, menyatakan bahawa projek bernilai RM300,000 yang dibiayai di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP).

“Projek ini bertujuan untuk memudahkan pergerakan hasil pertanian serta meningkatkan produktiviti petani.
“Produk pertanian kini dapat dipasarkan dengan lebih efisien dan pantas dengan akses jalan yang lebih baik, sekali gus membantu meningkatkan pendapatan petani serta kesejahteraan masyarakat setempat,” katanya .
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan majlis perasmian Jalan Pertanian dan majlis Penghargaan JKKK Cemerlang 2023-2024 di Kampung Batu Gong Lama, semalam.
Beliau turut menekankan kepentingan pembangunan berterusan dalam sektor pertanian, termasuk sistem pengairan dan logistik, bagi memastikan kejayaan jangka panjang projek sebegini serta memaksimumkan manfaat kepada masyarakat.

Selain itu, Agensi Pembangunan Bersepadu Greater Kuching (GKCDA) telah memperuntukkan sebanyak RM4 juta bagi terus memperkukuh sektor pertanian di kawasan tersebut.
Penduduk setempat menyambut baik inisiatif kerajaan Sarawak kerana bukan sahaja memudahkan pengangkutan hasil pertanian, malah membuka peluang kepada pertumbuhan ekonomi luar bandar yang lebih mampan.
Majlis tersebut turut meraikan pencapaian masyarakat, termasuk kejayaan Vanessa Emelda Austin dalam acara Sepak Takraw Wanita di Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 serta pengiktirafan terhadap JKKK Kampung Batu Gong Lama sebagai jawatankuasa komuniti cemerlang.