PETRA JAYA, 26 November: Parti politik perlu memberi ruang kepada muka baharu dalam barisan calon kerana pengundi tidak seharusnya terus melihat individu sama setiap kali pilihan raya, kata calon kerusi DUN Asajaya, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Beliau berkata, pembaharuan calon perlu dilakukan pada setiap pilihan raya, terutama dengan memberi peluang kepada golongan muda untuk diketengahkan sebagai calon.
“Pengundi tidak boleh terus melihat wajah yang sama selama 10 tahun. Pilihan raya diadakan setiap lima tahun, jadi perlu ada perubahan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas majlis Penyerahan Watikah Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), di sini, hari ini.
Menurut Abdul Karim, penyandang yang kurang sihat atau merasakan sudah terlalu lama berkhidmat boleh mengambil keputusan untuk berundur bagi memberi peluang kepada calon lain.
Bagaimanapun, katanya, pembaharuan kepimpinan tidak bermakna semua calon perlu terdiri daripada golongan muda kerana parti tetap memerlukan gabungan pemimpin veteran, golongan pertengahan dan generasi baharu.
“Tidak boleh semua anak muda, begitu juga tidak boleh semua veteran. Kita perlu ada campuran semua itu,” katanya.
Beliau berkata, pengalaman pemimpin yang sudah lama berkhidmat masih diperlukan, manakala golongan muda perlu diberi peluang untuk memperoleh pengalaman dalam kepimpinan parti.
Mengulas penyertaan wanita dalam politik, Abdul Karim berkata, garis panduan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyarankan sekurang-kurangnya 30 peratus perwakilan wanita.
Katanya, sasaran itu bukan satu ketetapan wajib, sebaliknya satu panduan yang diharapkan dapat dicapai pada masa hadapan.
“Kalau dapat sampai 30 peratus wanita, alhamdulillah. Tapi satu hari nanti ia akan sampai ke peringkat itu,” katanya.
Beliau turut merujuk perubahan penyertaan wanita dalam bidang perubatan dan kejuruteraan di universiti, yang menurutnya meningkat daripada sekitar lima hingga 10 peratus sebelum ini kepada kira-kira 70 peratus ketika ini.
Katanya, perkembangan sama juga boleh berlaku dalam bidang politik pada masa hadapan.
Oleh Shikin Mahmud



