Jalan baharu Kampung Muhibbah Kuala Baram siap diturap

Facebook
WhatsApp
SIAP...Jalan baharu di Kampung Muhibbah Kuala Baram siap diturap, sekali gus menyediakan kemudahan lebih selamat, selesa dan memudahkan pergerakan harian penduduk setempat.

MIRI: Penduduk Kampung Muhibbah Kuala Baram di sini kini dapat menikmati kemudahan jalan yang lebih selesa dan selamat susulan siapnya projek penurapan jalan baharu di kampung berkenaan.

Projek berkenaan disiapkan dalam tempoh sebulan dan penyerahan projek siap baru-baru ini disaksikan wakil Pusat Khidmat Parlimen Miri yang mewakili Ahli Parlimen Miri, Chiew Choon Man, yang juga Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya.

Turut hadir wakil Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri , Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) serta pihak kontraktor yang terlibat dalam pelaksanaan projek berkenaan.

Projek penurapan jalan baharu itu dilaksanakan bagi menambah baik kemudahan infrastruktur asas di Kampung Muhibbah Kuala Baram, sekali gus memudahkan pergerakan harian penduduk serta meningkatkan aksesibiliti ke kawasan sekitar.

Chiew berkata, penyediaan kemudahan asas yang baik merupakan antara aspek penting dalam memastikan kesejahteraan dan keselesaan masyarakat terus diberi perhatian.

“Pembangunan infrastruktur asas seperti jalan raya mungkin kelihatan sebagai satu penambahbaikan kecil, namun manfaatnya amat besar kepada penduduk setempat.

“Kemudahan jalan yang baik bukan sahaja meningkatkan keselamatan pengguna, malah memudahkan urusan harian dan aktiviti ekonomi masyarakat,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada ICU JPM, pihak kontraktor serta semua pihak yang terlibat sehingga projek berkenaan dapat disiapkan dengan lancar.

Menurutnya, keperluan pembangunan dan penambahbaikan kemudahan awam di kawasan Parlimen Miri akan terus diberi perhatian, khususnya projek yang memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat.

“Usaha untuk memperbaiki dan menaik taraf kemudahan asas akan terus diberi perhatian dari semasa ke semasa bagi memastikan rakyat menikmati persekitaran yang lebih selamat, selesa dan kondusif,” katanya.

Oleh Liong Chai Ling