Jaga pemakanan, kekal aktif kunci kesejahteraan warga emas

Facebook
WhatsApp
Jaga pemakanan, kekal aktif kunci kesejahteraan warga emas.

KUCHING: Penjagaan kesihatan warga emas perlu dilihat secara menyeluruh dengan memberi perhatian kepada pemakanan, pergerakan tubuh dan kesejahteraan mental bagi membantu mereka mengekalkan kualiti hidup.

Presiden Pengasas Kelab Lions Kuching Lavender, Connie Tan, berkata aspek kesihatan ketika usia meningkat bukan sekadar bertujuan mencegah penyakit, sebaliknya turut melibatkan usaha mengekalkan keupayaan untuk berdikari.

Beliau berkata, minda yang positif serta tahap tenaga yang baik juga penting bagi membolehkan warga emas terus menikmati kehidupan walaupun berada di pusat penjagaan.

Sehubungan itu, beliau menganjurkan aktiviti kumpulan sokongan kesihatan mental Siri 2.0 untuk penghuni warga emas di Rumah Penjagaan Lions Kuching, hari ini.

Menurut Connie, aktiviti berkenaan memberi tumpuan kepada kepentingan pemakanan dan pergerakan tubuh dalam menyokong kesihatan fizikal serta kesejahteraan mental warga emas.

Katanya, program itu tidak bertujuan menggalakkan peserta mengamalkan diet ketat atau melakukan senaman yang sukar.

Sebaliknya, beliau berkata, pihaknya mahu berkongsi amalan kecil yang menyeronokkan dan boleh dilakukan setiap hari mengikut kemampuan masing-masing.

“Ini termasuk aktiviti yang boleh dilakukan oleh mereka yang menggunakan kerusi roda, kerana kesejahteraan menyeluruh perlu dinikmati oleh semua,” katanya.

Dalam aktiviti itu, Connie turut dibantu rakan kelabnya, Then HH, yang merupakan seorang jurulatih kesihatan bertauliah.

Beliau berkata, pendekatan mudah dan praktikal seperti pemakanan yang sesuai serta pergerakan tubuh secara berkala boleh menjadi sebahagian daripada rutin harian warga emas.

Turut hadir Pengerusi Wilayah 1, Alexander Koh, Ketua Jururawat (Matron), Santie, serta kakitangan dan petugas Rumah Penjagaan Lions Kuching.