
MIRI: Sebanyak 97 kompaun dikeluarkan oleh Pejabat Kesihatan Miri selepas pemeriksaan dijalankan di 197 premis makanan atas pelbagai kesalahan.
Kompaun itu dikeluarkan mengikut Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.
Timbalan Menteri Kesihatan, Dato Lukanisman Awang Sauni berkata, Kementerian Kesihatan sentiasa komited untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat, terutama sekali sepanjang Ramadan, yang mana orang ramai keluar untuk membeli juadah berbuka puasa.
“Kita mahu memastikan bahawa semua peniaga mengikut garis panduan yang telah ditetapkan serta pengunjung sentiasa peka terhadap aspek kebersihan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Jerayawara Bazar Ramadan dan Kempen Keselamatan Makanan Bazar Ramadan di Bazar Ramadan Stadium Terbuka Miri, petang tadi.
Beliau berkesempatan untuk meninjau sendiri kawalan kebersihan dan keselamatan makanan oleh para peniag di bazar ramadan.
Pihak KKM akan terus menjalankan pemantauan dan pemeriksaan berterusan di bazar-bazar demi memastikan tiada kecuaian dalam amalan kebersihan dan keselamatan makanan.
Oleh Liong Chai Ling