SIBU: Penduduk di Bukit Assek diingatkan agar sentiasa menjaga kebersihan bagi mewujudkan persekitaran yang bersih dan sihat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek, Joseph Chieng Jin Ek berkata, Bukit Assek masih lagi kawasan panas untuk deman denggi dan sebab itu aspek kebersihan amat penting untuk menjauhi masyarakat daripada wabak itu.
“Kita menyeru agar semua penduduk sentiasa menitikberatkan aspek kebersihan rumah masing-masing dan kawasan Bukit Assek sebagai usaha mengekang penularan wabak denggi.
“Jaga kebersihan dan buang bekas-bekas yang boleh menakung air menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes. Semua penduduk harus memainkan peranan masing-masing bukan hanya di rumah, tetapi seluruh kawasan ini adalah rumah kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada kempen kebersihan anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Bukit Assek, pagi tadi.
Chieng memberitahu, kempen kebersihan itu kini telah menjadi salah satu acara tahunan di Bukit Assek.
“Kempen kebersihan adalah sangat penting, ia bukan sekadar simbolik, tetapi ia perlu memberi kesedaran kepada orang awam,” katanya.
Beliau berharap agar penganjuran akan datang turut melibatkan penyertaan golongan muda dan kanak-kanak sebagai usaha untuk memberikan kesedaran kepada mereka.
Turut hadir ialah Pengerusi Parti Rakyat Sarawak Bersatu (SUPP) Cawangan Bukit Assek, Dato Chieng Buong Toon, Pengerusi Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Sibu Penghulu Chua Hiong Kee serta yang lain.
Oleh AKUN GIMAN