KUALA LUMPUR: Syarikat pengurusan sisa elektronik, JAG Bhd, meneroka ke dalam sektor tenaga boleh diperbaharui menerusi anak syarikat baharunya, JAG Renewable Energy Sdn Bhd.
Pengerusi dan Pengarah Eksekutif JAG, Datin Stacey Tan Siew Ching berkata, syarikat itu akan menyertai proses pembidaan bagi cadangan kapasiti sehingga 29MWac yang ditawarkan di bawah program Solar Skala Besar (LSS) oleh Malaysia Electricity Industry to Attract Renewable Energy Investment (LSS@MenTARI).
“Ini sejajar dengan sasaran kami untuk menambah baik tahun kewangan 2020 kami kerana kami percaya sektor tenaga boleh diperbaharui memberi potensi besar kepada kami. Perjanjian ini, yang merupakan konsesi jangka panjang daripada tarikh operasi komersial, menawarkan prospek kukuh bagi keseluruhan pertumbuhan kumpulan,” katanya dalam satu kenyataan.
Mengenai prestasi kewangan, kumpulan itu mencatatkan keputusan lebih baik daripada dijangkakan dalam suku pertama tahun ini dengan keuntungan bersih RM1.5 juta.
“Meskipun peningkatan harga komoditi seperti tembaga, emas, perak dan paladium menyumbang kepada keputusan positif ini, kami percaya bahawa ia adalah komitmen kami untuk memperoleh dan mengekalkan kontrak di samping meningkatkan kapasiti, yang telah mengukuhkan pertumbuhan kami,” kata Pengarah Eksekutif JAG Datuk Ng Meow Giak.
Mengenai prospek masa depan, beliau berkata, syarikat itu menyasar mengukuhkan asasnya dengan memanfaatkan perniagaan terasnya di samping meneroka potensi untuk memanfaatkan peluang baharu dalam sektor lain yang sedang berkembang bagi memacu prestasi jangka panjang.
“Ketika kami meneruskan pelan strategik kami bagi 2020, kami kekal yakin dengan tahun mendatang dan menjangka mengekalkan momentum kami untuk terus mencatatkan keputusan kewangan yang kukuh pada suku-suku akan datang,” katanya. – Bernama