KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keputusan untuk menamatkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bergantung kepada keupayaan rakyat menjadikan Prosedur Operasi Standard (SOP) perintah berkenaan sebagai resam biasa kehidupan mereka.
Perdana menteri berkata, tidak cukup hanya sekadar mengikuti SOP ditetapkan seperti jarakan sosial untuk diri sendiri sahaja, setiap rakyat perlu memainkan peranan untuk turut menegur sesama sendiri jika ada yang tidak patuh kepada perintah berkenaan.
Katanya jika tidak mahu dijangkiti virus berkenaan, setiap rakyat juga harus di sepanjang masa mengamalkan SOP peribadi seperti memeriksa suhu badan, memastikan jarakan sosial dijaga, memakai penutup hidung dan mulut setiap kali di luar rumah, dan sekerap boleh menggunakan pembersih tangan.
Mulai sekarang, tegasnya setiap rakyat terutama pimpinan masyarakat dan komuniti memikul tanggungjawab lebih besar selain petugas barisan hadapan untuk mengawal penularan Covid-19.
“Alhamdulillah kita bertuah kerana memiliki kemudahan kesihatan antara terbaik di dunia. Kita juga mempunyai doktor, jururawat dan petugas barisan hadapan yang berkhidmat dengan penuh dedikasi dan profesional, kerana itu setakat ini kita jadi antara negara yang paling berjaya mengawal penularan wabak itu.
“Namun dalam menentukan kejayaan kita seterusnya, yang lebih penting adalah tanggungjawab diri kita sendiri. Tanggungjawab saya dan saudara-saudari sekalian, jika kita patuhi SOP ditetapkan bermakna kita telah pun laksanakan tanggungjawab kita, ini besar maknanya kepada kita semua.
“Tiada siapa lebih mampu untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab ini selain kita,” katanya dalam perutusan khas Aidilfitri yang disiarkan secara langsung melalui siaran televisyen, malam ini.
Menyentuh SOP Aidilfitri yang hanya membenarkan aktiviti ziarah dalam kalangan jiran terdekat dan keluarga di negeri yang sama dengan had 20 orang pada satu-satu masa, Muhyiddin menjelaskan ia diputuskan bersandarkan prinsip Maqasid Syariah
“Bagi memelihara nyawa, kita korbankan sedikit adat atau kelaziman demi elakkan jangkitan. Saya ingatkan dan nasihatkan, berbincanglah dengan adik-beradik dan saudara mara siapa yang boleh datang berziarah. Ketika mereka di rumah pula, pastikanlah mereka mengamalkan jarakan sosial dan elakkan bersalaman dan bersentuhan.
“Jaga mak, ayah dan nenek kita yang telah berusia ini, kerana mereka lebih terdedah kepada jangkitan. Tak mengapalah pada hari raya kali ini kita tak bersalaman atau peluk cium datuk atau nenek kita. Bukan kita tak sayang, tapi kerana kita sayangi merekalah kita elakkan daripada menyentuh mereka,” katanya.
Perdana menteri turut menasihatkan orang ramai supaya rumah dibersihkan segera selepas menerima tetamu dan elakkan daripada menziarahi kubur yang menjadi kebiasaan dikunjungi ramai pada hari raya.
“Semua ini penting supaya kita dapat sambut Aidilfitri dan pada masa sama elakkan risiko penularan wabak Covid-19 selepas cuti perayaan
“Saya perlu sebutkan perkara ini kerana di beberapa negara lain, wabak Covid-19 menular selepas musim perayaan. Kita nak elakkan perkara seperti ini berlaku di negara kita, jadi biarlah kita ambil langkah yang lebih berhati-hati supaya kita selamat di kemudian hari,
“Bak kata pepatah, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada berguna,” katanya. – Bernama