


KABONG: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir mahu budaya kunjung-mengunjungi pada musim perayaan dijadikan sebagai landasan untuk mengeratkan lagi perpaduan kaum di negeri ini.
Menurut beliau, musim perayaan merupakan salah satu wadah semuakaum untuk berkunjung ke majlis rumah-rumah terbuka kaum yang meraikan sesuatu perayaan.
“Musim perayaan seperti ini merupakan landasan terbaik buat kita semua berkunjung dan menziarahi sanak saudara sambil bermaaf-maafan bersama semua.
“Kita mahu budaya seperti ini diteruskan dari semasa ke semasa dan bukan hanya pada musim perayaan Hari Raya Aidilfitri sahaja, sebaliknya pada musim perayaan kaum lain seperti Tahun Baharu Cina, Gawai Dayak, Krismas dan sebagainya,” jelasnya.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan program Juh Samo Ateang Rayo Aidilfitri Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Kabong di Dewan Terbuka Pantai Tanjung Kembang Kabong, hari ini.
Sementara itu, Chee Kadir berkata rakyat perlu bersyukur kerana berpeluang merayakan semua perayaan di negara ini dalam keadaan aman, bahkan sesuatu perayaan tersebut bukan hanya tertumpu kepada satu kaum tetapi diraikan oleh semua orang.
“Di Sarawak khasnya, pelbagai perayaan diraikan dengan penuh kegembiraan bersama ahli keluarga, rakan dan jiran tetangga tanpa mengira kaum, agama dan kepercayaan yang dimiliki. Ia juga melambangkan keharmonian dalam masyarakat di negeri ini dan bagi saya, ia adalah keunikan yang kita, sebagai rakyat Sarawak, perlu banggakan,” ujarnya.
Chee Kadir turut menyatakan akan meneruskan program Rumah Terbuka Gawai Dayak Kabong kerana program seperti itu mampu mengeratkan silaturahim sesama penduduk dan turut mencadangkan agar sambutan Tahun Baharu Cina turut diadakan untuk peringkat DUN Kabong pada masa akan datang.
Oleh Adi Safarman