KUCHING: Projek perintis pengasingan sisa pepejal dan kitar semula adalah satu projek penting bagi memastikan agenda global iaitu pembangunan lestari tercapai.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata agenda global untuk memperkukuhkan pelaksanaan pembangunan lestari semakin kritikal.
“Dunia mengalami peningkatan jumlah penduduk serta skala eksploitasi alam bagi tujuan ekonomi yang semakin melebar. Oleh itu, bagi memastikan pelaksanaan itu tercapai, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Trienekens Sarawak Sdn Bhd telah memperkenalkan projek perintis pengasingan sisa pepejal dan kitar semula di Kampung Tunku dan Kampung Malaysia Jaya Fasa satu.
“Objektif utama projek ini adalah untuk menggalakkan amalan mengurus sisa dan memperbaiki kesedaran serta memupuk perubahan tingkah laku dalam kalangan penduduk.
“Amalan kitar semula ini sangat penting kerana dengan sikap positif terhadap penerimaan projek ini, kita dapat melindungi alam sekitar daripada pencemaran yang semakin memberi kesan terhadap kesihatan dunia dan boleh menjejaskan ketenteraman masa hadapan kita, ” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian program kesedaran alam sekitar di Dewan Serbaguna Kampung Malaysia Jaya di sini hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samariang itu berkataq, peranan tersebut perlu diamalkan setiap lapisan masyarakat supaya alam sekitar dapat dijaga dengan baik dan betul.
Katanya, memang tidak mudah untuk menggalakkan masyarakat untuk mula kitar semula barang-barang secara mendadak.
“Hal ini kerana masyarakat masih kurang kesedaran mengenai kepentingan amalan tersebut. Oleh itu, komuniti perlu diberikan pendedahan yang sewajarnya.
“Kitar semula memerlukan pengetahuan untuk difahami. Kita perlu tahu cara pengasingan yang betul seperti plastik, kaca dan kertas.
“Untuk itu, pendedahan perlu diberikan agar amalan ini dapat terus dilaksanakan dalam kalangan masyarakat,” katanya.
Oleh SHAHRUL QAIZAT