
SIMANGGANG: Kawasan Rukun Tetangga (KRT) terus memainkan peranan penting dalam menyatukan pelbagai kaum serta memastikan keamanan dan keselamatan masyarakat setempat.
Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli mengajak masyarakat mengenal pasti keperluan komuniti dan menangani isu sosial di kawasan setempat seperti di kampung dan rumah panjang untuk melahirkan komuniti yang sejahtera.
“Peranan dan fungsi KRT pada hari ini amat penting dalam memastikan perpaduan, keharmonian dan keselamatan sesebuah komuniti yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama itu sentiasa dijaga dan dipelihara.
“Sebab itulah saya meminta anda semua sebagai ahli KRT untuk terus memainkan peranan yang penting ini agar masyarakat kita yang berbilang kaum dan agama ini tidak berpecah-belah dan hidup secara berpuak-puak atau berasingan antara satu sama lain,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis Jalinan Muafakat Aidilfitri KRT Bahagian Sri Aman 2025 bertempat di Dewan Suarah Sri Aman semalam.
Mohamad Shafizan berkata ahli KRT mempunyai peranan penting sebagai ‘mata dan telinga’ kerajaan dalam usaha membentuk masyarakat di sesebuah kampung dan rumah panjang sentiasa bersatu-padu, aman dan harmoni.
“KRT juga merupakan sebagai salah satu badan yang menjadi mata dan telinga juga jambatan penghubungqn terbaik di antara rakyat peringkat akar umbi dengan kerajaan mahu pun pemimpin di negara ini. Ahli KRT yang telah terpilih ini seharusnya merasa bangga dengan tugas yang telah diamanahkan,” tambahnya.
Dalam perkembangan lain, Mohamad Shafizan menjelaskan pembinaan jaringan jalan raya serta jambatan di kawasan Parlimen Batang Lupar bakal menjadi pemangkin kepada pembangunan di Bahagian Sri Aman.
Oleh Adi Safarman