ROM: Polis anti-mafia Itali berjaya menahan ketua Mafia Sicily, Matteo Messina Denaro, hari ini, sekali gus menamatkan pemburuan pelarian paling dikehendaki negara itu sejak 30 tahun lalu.
Messina Denaro, 60, yang juga seorang pembunuh, adalah tokoh terkemuka di Cosa Nostra, yang mengetuai sindiket jenayah Sicily seperti yang digambarkan dalam filem ‘Godfather’.
Malah, dia pernah berbangga ketika ditahan suatu ketika dulu, dengan mengatakan dia kini dapat berkongsi tanah perkuburan dengan mangsa yang dibunuhnya.
Menurut Komander Operasi Khas, Pasquale Angelosanto, dalam satu kenyataan dikeluarkan polis, ketua penjenayah itu ditahan di dalam sebuah pusat kesihatan di Palermo, di mana dia sedang mendapatkan ‘rawatan teraputik’.
Messina Denaro dirawat secara berkala di klinik itu sejak setahun lalu bagi penyakit kanser usus besar, dengan menggunakan nama samaran dan tidak melawan ketika ditangkap, kata agensi berita ANSA.
Pakar jenayah dari Universiti Essex, Anna Sergi, berkata Messina Denaro adalah ‘mafia yang terakhir, yang paling berdaya tahan, mafioso Sicily ‘paling tulen’ yang masih tinggal’.
“Rahsia yang disimpannya mencetuskan konspirasi berhubung perjanjian dalam kumpulan jenayah itu sekitar 1990an.
“Pada asasnya, dia adalah tonggak kuasa bersejarah Cosa Nostra dan mitos mengenai zamannya mengetuai kumpulan mafia adalah antara punca kenapa lagenda kumpulan jenayah itu berkesinambungan,” katanya kepada AFP.