Itali catat rekod baharu suhu musim panas

Facebook
WhatsApp
ORANG ramai berlindung daripada cuaca panas ketika Itali mencatat musim panas terpanas sejak rekod suhu negara itu bermula pada 1950, dengan purata suhu 24.3 darjah Celsius tahun ini.

ROM: Itali mencatat musim panas terpanas sejak 1950 tahun ini, dengan purata suhu mencecah 24.3 darjah Celsius, menurut Majlis Penyelidikan Kebangsaan (CNR) pada Isnin, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa).

Menurut data Institut Bioekonomi CNR, Ogos merupakan bulan yang amat panas dengan purata suhu 25.6 darjah Celsius.

Bacaan itu diambil pada ketinggian dua meter dari permukaan tanah.

“Purata 25.6 darjah Celsius yang direkodkan pada Ogos 2026 mengatasi rekod terdahulu, iaitu 24.6 darjah Celsius pada 2024 dan 24 darjah Celsius pada Ogos 2017,” kata Lorenzo Arcidiaco dari CNR.

Arcidiaco berkata data berkenaan turut menunjukkan bahawa 2026 berpotensi menjadi tahun terpanas di Itali sejak rekod bermula pada 1950.

Sepanjang musim panas, negara itu dilanda beberapa gelombang haba yang menyebabkan suhu melonjak di bandar-bandar utama.

Kementerian Kesihatan berulang kali mengeluarkan amaran haba pada tahap tertinggi, sambil memberi amaran mengenai risiko kesihatan termasuk kepada individu sihat yang terdedah kepada keadaan ekstrem.

CNR merupakan institusi penyelidikan awam terbesar di Itali. – Bernama-dpa