PETRA JAYA: Kerajaan Pusat dan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) perlu mengambil serius untuk memuktamadkan isu hak penjualan gas dan berhenti berdolak-dalik.
Datuk Hamzah Brahim (GPS-Stakan) berkata, Petronas dilihat seolah-olah bermain ‘sorong tarik’ dalam menyelesaikan isu ini dengan kerajaan Sarawak.
Katanya, kerajaan Sarawak juga perlu lebih agresif dan menggunakan landskap politik negara semasa sebagai kelebihan, kerana banyak manfaat kepada kerajaan Sarawak sekiranya isu ini boleh diselesaikan.
“Petronas seolah-olah sorong tarik dengan kerajaan Sarawak. Petronas jangan sekejap cakap ‘ok’, sekejap cakap tunggu, sekejap ‘ok’, sekejap cakap nanti dahulu, sekejap setuju dalam mesyuarat, sekejap cakap perlu dibincangkan,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2025 pada sidang Dewan Undangan Negeri Sarawak, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau juga menggesa Petronas untuk menghormati hak Sarawak yang telah termaktub dalam lunas undang-undang.
Beliau berkata, kenyataan yang dikeluarkan oleh Petronas bahawa isu gas aggregator antara syarikat minyak gergasi itu dan kerajaan Sarawak belum diselesaikan, meskipun Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah mengumumkan ia telah selesai, dilihat sebagai tindakan memperlekehkan kerajaan Sarawak.
“Undang-Undang yang mengesahkan bahawa Petros sebagai aggregator gas tunggal sudah berkuatkuasa awal tahun ini.
“Kita sudah memberi masa tambahan untuk Petronas membuat keputusan sehingga 31 Oktober lepas untuk mereka membuat keputusan dan bersetuju dengan perkara yang sudah dibincangkan melalui Ordinan Pengagihan Gas 2016.
“Ini sudah November, masa sudah habis, tetapi Petronas masih melihat kita macam budak kecil.
“Saya menggesa agar Petronas menghormati undang-undang Sarawak. Seperti syarikat-syarikat lain di Sarawak, terikat dengan undang-undang Sarawak. Jangan bengkeng (degil). Jangan menghina undang-undang Sarawak.
“Kerajaan Sarawak sudah menyebut hal ini (gas agregator) sudah selesai dalam perbincangan. Tetapi Petronas mengeluarkan kenyataan bahawa ia belum selesai. Ini seolah-olah memperlekehkan kerajaan Sarawak.
“Janganlah disebabkan keangkuhan dan kedegilan Petronas menggugat hubungan Kerajaan Persekutuan dan Sarawak. Kita telah membuat pengorbanan besar untuk kerajaan Persekutuan.
“Kerajaan Sarawak kini adalah kerajaan yang mampu mengubah landskap politik negara,” jelasnya.
Oleh SHAHRUL QAIZAT