
Anthony Loke (kiri) bersama Abang Johari semasa sidang media, di Hotel Hilton, Kuching hari ini. Foto UKAS
KUCHING: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg telah mencapai persefahaman dalam menyelesaikan isu minyak dan gas antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sarawak secara harmoni.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook yakin kedua-dua pemimpin mempunyai keupayaan untuk menangani perkara ini dengan baik demi kepentingan bersama.
“Melihat kepada kebijaksanaan Perdana Menteri dan Premier Sarawak, saya yakin mereka mampu menguruskan isu ini dengan berkesan.
“Saya juga percaya apabila perjanjian berkaitan diumumkan nanti, ia akan menjadi keputusan yang menguntungkan semua pihak,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas majlis menandatangani Perjanjian Jual Beli antara kerajaan Sarawak dan Malaysian Aviation Group (MAG) di sini hari ini.
Anthony Loke berkata meskipun perkara ini telah mencapai penyelesaian, masih terdapat kekeliruan yang timbul akibat maklumat yang kurang tepat.
Sementara itu, Abang Johari turut menegaskan bahawa fakta sebenar mengenai isu ini telah jelas, namun terdapat salah faham disebabkan penyebaran maklumat yang mengelirukan.
“Jika dilihat berdasarkan fakta, semuanya sudah terang dan nyata, tetapi maklumat salah telah menimbulkan kekeliruan,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Anthony Loke turut mengesahkan bahawa perincian perjanjian antara Petroleum Sarawak Berhad (Petronas) dan Petronas akan diumumkan dalam masa terdekat.
Oleh Amanda L.