
KUCHING: Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA), Datuk Ismawi Ismuni dipilih sebagai Pengerusi baharu Angkatan Zaman Mansang (AZAM) Sarawak bagi penggal 2026 hingga 2028 pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Ke-43 organisasi itu, hari ini.
Pemilihan tersebut menyaksikan beliau menerajui agenda transformasi AZAM sebagai organisasi komunikasi yang memberi tumpuan kepada komunikasi partisipatori, pembangunan kapasiti, pembangunan bakat dan inovasi bagi memperkasa masyarakat.
Turut dikekalkan dalam barisan kepimpinan ialah Mohd Arif Irwani Azahari sebagai Naib Pengerusi dan Dr. Margaret sebagai Setiausaha Kehormat, manakala Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi), Datu Hii Chang Kee dipilih sebagai Bendahari Kehormat.
Datuk Ismawi bukanlah nama baharu dalam AZAM apabila telah berkhidmat hampir 16 tahun dalam pelbagai kapasiti kepimpinan termasuk sebagai Ahli Lembaga Pengarah, Bendahari Kehormat dan Timbalan Pengerusi selama tiga penggal berturut-turut.
Beliau berkata, amanah yang diberikan akan digunakan untuk memperkukuh peranan AZAM sebagai organisasi komunikasi yang progresif, inklusif dan berimpak kepada masyarakat.
“Kami komited memastikan AZAM terus menjadi platform yang menghubungkan masyarakat, membangunkan bakat serta memperkasa komuniti melalui komunikasi yang relevan, inovatif dan memberi nilai kepada setiap lapisan masyarakat,” katanya.
Menurut beliau, kepimpinan baharu akan memberi penekanan terhadap pengukuhan ekosistem komunikasi, pembangunan bakat, literasi digital, pembangunan kapasiti serta memperluaskan penglibatan belia dan komuniti menerusi pendekatan komunikasi yang lebih strategik, kreatif dan inklusif.
Beliau berkata, pendekatan komunikasi yang disesuaikan mengikut keperluan pelbagai kumpulan sasaran akan terus diperkukuh bagi memastikan setiap program dan inisiatif AZAM dapat disampaikan secara lebih berkesan serta memberi impak menyeluruh kepada masyarakat Sarawak.
Pada masa sama, AZAM merakamkan penghargaan kepada bekas Pengerusi, Datu William Patrick Nyigor atas kepimpinan dan sumbangan beliau sepanjang menerajui organisasi itu.
Di bawah kepimpinan beliau, AZAM melalui proses penjenamaan semula dan transformasi strategik sebagai organisasi komunikasi dengan pelaksanaan pelbagai program berimpak tinggi seperti KelakaBelia, PROGRESS, Premier of Sarawak Debate Challenge Cup, AZAM Young Souls (AYS), Kelab Toastmasters AYS, program literasi digital dan pembangunan kapasiti.
Memasuki tahun ke-44 penubuhannya, AZAM akan terus memperkukuh peranannya sebagai platform komunikasi yang menghubungkan masyarakat, membina kefahaman serta memperkasa penyertaan komuniti melalui pembangunan bakat, komunikasi berkesan dan inovasi selaras dengan aspirasi pembangunan Sarawak.