Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SUKAN
  • Iraola calon utama ganti Slot di Liverpool
  • SUKAN

Iraola calon utama ganti Slot di Liverpool

Utusan Sarawak 3 hours ago

ANDONI Iraola (kiri) disebut sebagai calon utama untuk mengambil alih tugas Arne Slot (kanan) di Anfield.

LIVERPOOL: Liverpool memecat pengurus Arne Slot pada Sabtu dengan alasan kelab itu memerlukan “perubahan hala tuju” selepas gagal mempertahankan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan baik.

The Reds menamatkan musim di tangga kelima liga, ketinggalan 25 mata di belakang juara Arsenal, walaupun berbelanja hampir £450 juta (RM2.72 bilion) untuk membawa masuk pemain baharu dalam satu jendela perpindahan tahun lalu.

Bekas pengendali Bournemouth, Andoni Iraola, dilaporkan menjadi calon utama untuk menggantikan Slot selepas berjaya membawa kelab itu layak ke pentas Eropah buat kali pertama dalam sejarah mereka.

Hanya setahun lalu, Slot dipuji sebagai wira apabila berjaya mengisi kekosongan yang ditinggalkan Jurgen Klopp dan menghadiahkan Liverpool gelaran liga ke-20, menyamai rekod tertinggi England, pada musim pertamanya sebagai pengurus.

Namun, musim ini menyaksikan penyokong mula hilang kepercayaan terhadap pengendali dari Belanda itu susulan beberapa persembahan hambar dan keputusan yang mengecewakan.

Liverpool tewas 19 kali dalam semua pertandingan, manakala kutipan 60 mata dalam EPL merupakan yang terburuk sejak musim 2015/16.

Turut memburukkan keadaan ialah tanda-tanda ketidakharmonian dalam bilik persalinan, terutama melibatkan Mohamed Salah yang bakal meninggalkan kelab.

Dalam satu hantaran media sosial awal bulan ini, Salah menyeru Liverpool kembali kepada “bola sepak heavy metal”, merujuk kepada gaya permainan bertenaga tinggi Klopp yang dilihat sebagai sindiran terhadap pendekatan Slot yang lebih berhati-hati.

Hantaran itu turut menerima tanda suka daripada beberapa pemain Liverpool.

“Saya tidak terkejut,” kata bekas kapten Liverpool, Steven Gerrard.

“Saya sedih untuk Arne Slot kerana pada tahun pertamanya dia melakukan tugas yang luar biasa.

“Mengambil alih daripada Jurgen Klopp bukan tugas mudah. Dia berjaya melakukannya dengan lancar. Sangat sukar untuk memenangi Liga Perdana dan saya memahami perkara itu lebih daripada kebanyakan orang.”

Sebelum ini, Slot dilaporkan masih akan dikekalkan selepas berjaya membawa Liverpool layak ke Liga Juara-Juara.

Perlu pendekatan berbeza

Bagaimanapun, pemilik kelab dari Amerika Syarikat, Fenway Sports Group, akhirnya membuat keputusan memecat bekas jurulatih Feyenoord itu.

“Kesimpulan yang kami capai adalah berdasarkan kepercayaan bahawa hala tuju pasukan ini lebih baik diperbetulkan menerusi perubahan arah,” menurut kenyataan kelab.

“Ia tidak mengurangkan sumbangan Arne di sini atau rasa hormat kami terhadapnya. Ia juga bukan gambaran terhadap kebolehannya sebagai jurulatih.

“Sebaliknya, ia menunjukkan keperluan untuk pendekatan yang berbeza.

“Arne meninggalkan kelab dengan penghargaan kami, dengan satu gelaran Liga Perdana atas namanya, dan beliau serta keluarganya sentiasa dialu-alukan kembali ke Anfield.”

Liverpool turut mengesahkan proses mencari pengganti sedang dijalankan.

Ramai penyokong mengharapkan kepulangan Xabi Alonso ke Anfield, namun bekas pemain tengah Liverpool itu dilaporkan akan membimbing Chelsea musim depan.

Saham Iraola pula meningkat selepas beliau membawa Bournemouth menamatkan musim di tangga keenam menerusi rentetan 18 perlawanan liga tanpa kalah, hanya tiga mata di belakang Liverpool walaupun memiliki sumber yang jauh lebih terhad.

Pengendali Sepanyol itu juga pernah bekerjasama dengan pengarah sukan Liverpool, Richard Hughes, ketika kedua-duanya berada di Bournemouth.

Slot akhirnya menerima padah kerana gagal memastikan pelaburan besar Liverpool membuahkan hasil.

Rekod perpindahan Britain, Alexander Isak, sering dibelenggu masalah kecergasan, manakala Florian Wirtz bergelut menyesuaikan diri selepas perpindahan bernilai £100 juta dari Bayer Leverkusen.

Pada masa sama, Slot turut berdepan cabaran emosi susulan kematian penyerang Diogo Jota dalam kemalangan jalan raya pada Julai lalu. – AFP

Tags: Sukan

Continue Reading

Previous: Arsenal perlu berevolusi selepas tewas kepada PSG di final
Next: Jangan pandang rendah laluan, buat persiapan rapi sebelum mendaki

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.