
LOS ANGELES, Amerika Syarikat: Iran bangkit dua kali untuk mengikat New Zealand 2-2 sebentar tadi dalam perlawanan pembukaan kempen Piala Dunia yang dibayangi oleh konflik perang, politik dan protes.
Kehadiran pasukan Iran di Stadium Los Angeles sebelum ini menjadi tanda tanya berikutan konflik ketenteraan yang berlarutan antara negara itu dengan Amerika Syarikat sejak beberapa bulan lalu.
Namun, sebaik sahaja saingan bermula, pemain Iran berjaya menumpukan perhatian kepada perlawanan meskipun dua kali ketinggalan kepada pasukan yang mempunyai ranking terendah dalam kejohanan itu menerusi dua jaringan penyerang New Zealand, Elijah Just.
Dengan sokongan padu penyokong pro-Iran yang mengatasi suara kumpulan penunjuk perasaan antikerajaan, jaringan penyamaan daripada Ramin Rezaeian dan Mohammad Mohebi berjaya menyelamatkan maruah Team Melli.

Pasukan Iran berdepan pelbagai cabaran sebelum tiba di Piala Dunia, termasuk kelewatan dan penolakan visa ke Amerika Syarikat, selain terpaksa memindahkan kem latihan mereka ke Mexico pada saat akhir.
Ratusan penunjuk perasaan yang membantah pemerintahan Iran berhimpun di luar stadium pada Isnin dengan mendakwa pasukan itu tidak mewakili rakyat negara tersebut.
Di dalam stadium pula, ramai penyokong memakai lambang antikerajaan, sekali gus melanggar peraturan FIFA yang melarang mesej berunsur politik, manakala lagu kebangsaan Iran disambut dengan sorakan dan cemuhan.
Jurulatih Iran, Amir Ghalenoei, sebelum perlawanan menegaskan bahawa pemainnya tidak akan “memberi perhatian kepada segala gembar-gembur” yang menyelubungi pasukan itu.

Bagaimanapun, pasukannya dikejutkan dengan jaringan awal New Zealand menerusi serangan balas yang dirintis oleh penyerang berpengalaman, Chris Wood.
Pada minit ketujuh, penyerang Nottingham Forest itu menerima hantaran jauh sebelum mengawal bola dengan kemas, berpusing dan melorongkan bola kepada Elijah Just yang melakukan larian pantas.
Selepas pertukaran hantaran pantas bersama Sarpreet Singh dan Wood, Just melonjak lalu melepaskan rembatan yang menembusi gawang Iran.
Penyerang utama Iran, Mehdi Taremi, hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-23 apabila rembatan jarak jauhnya terkena tiang kanan gol.
Iran sekali lagi hampir menjaringkan gol apabila penjaga gol New Zealand, Max Crocombe, kehilangan penguasaan bola di luar kawasan penalti, namun percubaan lambung ke arah gawang kosong tersasar.
Gol penyamaan Iran akhirnya hadir pada minit ke-32 menerusi penyudah jarak dekat Rezaeian.

Beliau pantas menyambar bola muntah selepas hantaran bijak Saman Ghoddos kepada Shahriyar Moghanlou, yang percubaannya terlebih dahulu disekat oleh Finn Surman.
Pemain pertahanan Iran, Ali Nemati, menyangka beliau telah menjaringkan gol pada masa kecederaan babak pertama, namun tandukannya hasil sepakan percuma dibatalkan kerana berada dalam kedudukan ofsaid.
New Zealand kembali mendahului pada minit ke-55 apabila Just menjaringkan gol kedua peribadinya menerusi gerakan satu-dua yang kemas bersama Wood selepas Liberato Cacace merampas bola di kawasan tengah padang.
Bagaimanapun, kelebihan itu hanya bertahan sembilan minit apabila Mohebi menanduk masuk hantaran lintang menarik daripada Rezaeian, dengan bola terlebih dahulu terkena bahagian dalam tiang sebelum menerjah jaring.
Sepanjang 30 minit terakhir perlawanan, Iran lebih banyak menguasai permainan tetapi gagal memperoleh gol kemenangan akibat penyudah yang kurang kemas serta pertahanan New Zealand yang beraksi dengan penuh disiplin.
Keputusan seri itu sedikit menjejaskan harapan Iran untuk mara ke pusingan kalah mati buat kali pertama dalam sejarah penyertaan mereka, namun pencabar lain dalam Kumpulan G, Belgium dan Mesir, turut mencatat keputusan seri pada Isnin.
Sementara itu, New Zealand masih menanti kemenangan pertama mereka dalam sejarah penyertaan di Piala Dunia. – AFP