IPU Daerah Lawas terus meningkat ke tahap tidak sihat

Facebook
WhatsApp
PANDANGAN TERJEJAS... Pandangan bandar Lawas dari Bukit Masjid Besar Darul Ma'mur, Lawas, jelas kabur akibat jerebu, sehingga jambatan bandar berkenaan turut hampir tidak kelihatan.

LAWAS: Tinjauan dan pemerhatian keadaan cuaca di Daerah Lawas mendapati jarak penglihatan semakin merosot, manakala kualiti udara turut menjejaskan penduduk.

Setakat 12.00 tengah hari ini, bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Daerah Lawas ialah 189 dan keadaan dijangka bertambah buruk menjelang petang.

Keadaan berkenaan turut menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk, khususnya mereka yang perlu melakukan aktiviti di luar rumah dalam keadaan kualiti udara yang semakin merosot.

Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa peka terhadap perkembangan semasa berkaitan kualiti udara serta mengambil langkah berjaga-jaga sekiranya keadaan jerebu bertambah buruk.

Sehingga kini, belum ada sebarang kenyataan daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Limbang atau Daerah Lawas berhubung peningkatan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kawasan berkenaan.

Oleh Adeng Edrus