
BINTANGOR: Polis Meradong terus mempergiat usaha membanteras penyalahgunaan dadah menerusi Ops Tapis yang dilaksanakan Pasukan Petugas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Meradong di daerah ini pada pagi tadi.
Ketua Polis Daerah (KPD) Meradong, DSP Tansli Mering berkata, dalam operasi tersebut, seorang lelaki berumur 51 tahun telah ditahan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan dadah.
Katanya, suspek ditahan kira-kira 9.45 pagi sebelum dibawa ke IPD Meradong untuk tindakan lanjut.
“Saringan ujian air kencing terhadap suspek di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Meradong mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.
“Berdasarkan semakan rekod lampau, dapati suspek tiada mempunyai sebarang rekod jenayah atau dadah,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Katanya, kes tersebut kini disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Jika disabitkan kesalahan, suspek boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun.
“Pihak polis IPD Meradong memandang serius kesalahan dadah di kalangan masyarakat dan tidak berkompromi dengan masalah tersebut.
“Saya menggesa supaya masyarakat menyalurkan maklumat kepada pihak polis berkaitan kegiatan dadah di Daerah Meradong,” katanya.
Tambahnya, maklumat boleh disalurkan ke Balai Polis Bintangor di talian 084-693222.
Oleh Earl Anek