
LIMBANG: Majlis Daerah Limbang (MDL) akan melakukan kerja membaik pulih siling bangunan Tamu Limbang yang runtuh melalui projek naik taraf bangunan itu dengan peruntukan RM1 juta pembiayaan kerajaan Sarawak.
Pengerusi MDL, Kaunselor Sufian Mohat berkata, pihaknya bersama kontraktor telah menilai kejadian tersebut sejurus insiden berlaku pada Sabtu lepas.
“Pihak MDL bersama kontraktor telah mengadakan lawatan segera ke lokasi siling bangunan tamu yang runtuh serta menutup kawasan meja jualan sayur yang terjejas sementara menunggu kerja baik pulih di bawah projek naik taraf Tamu Limbang yang dijadual bermula Mei ini,” katanya kepada media hari ini.
Beliau berkata, komponen projek itu merangkumi kerja membaik pulih siling bangunan serta penempatan semula pasar ikan Limbang di bahagian belakang tamu dengan konsep kering, bersih, kondusif dan sistematik.
Menurutnya, projek tersebut diilhamkan oleh pihaknya bersama para peniaga ikan bagi mengubah pasar itu menjadi lebih menarik dan bersih.
Pada Sabtu lepas, beberapa peniaga sayur di bangunan Tamu Limbang cemas apabila sebahagian siling bangunan runtuh dan menimpa meja jualan sayur-sayuran.
Insiden itu menyebabkan suasana sedikit panik dalam kalangan peniaga dan pembeli, namun tidak melibatkan sebarang kecederaan.
Oleh Adeng Edrus