
PETRA JAYA: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah membuka beberapa Pusat Pemindahan Sementara (PPS) bagi menempatkan mangsa insiden di Putra Heights, dengan seramai 484 individu terjejas, setakat ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Sri Nancy Shukri, berkata JKM kini beroperasi di Puchong dengan kerjasama kerajaan Selangor, dan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) bagi menyalurkan bantuan kepada mangsa yang terjejas.
“Buat masa ini, ramai yang tampil menghulurkan bantuan dalam bentuk barang keperluan seperti makanan, dan lampin pakai buang.
“Namun, saya menasihatkan supaya pemberian sumbangan dilakukan secara terancang bagi mengelakkan kesukaran kepada mangsa kerana mereka masih tidak mempunyai tempat tinggal tetap,” katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusof di Pusat Konvensyen CIDB Sarawak, hari ini.
Nancy menekankan bahawa walaupun wang, dan bantuan material tidak dapat menggantikan kehilangan dan kesukaran yang dihadapi mangsa, kerajaan akan tetap meneliti bentuk bantuan tambahan, termasuk kewangan, bagi membantu mereka membina semula kehidupan.
Nancy turut memaklumkan bahawa kementeriannya telah menggerakkan Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) ke lokasi bagi menyediakan sokongan psikososial kepada mangsa yang mungkin mengalami tekanan akibat tragedi ini.
“PSSS ini akan menyediakan khidmat kaunseling untuk mangsa yang mengalami trauma, lebih-lebih lagi dalam suasana Hari Raya ini. Mereka memerlukan tempat untuk meluahkan perasaan, dan kami akan pastikan perkhidmatan ini disediakan,” jelasnya.
Beliau turut menyatakan bahawa PPS sedia ada kini menempatkan pelbagai golongan termasuk 16 warga emas lelaki, 18 warga emas wanita, 149 lelaki dewasa, 141 perempuan dewasa, 135 kanak-kanak, serta 21 bayi. Selain itu, terdapat empat individu kelainan upaya (OKU) yang turut ditempatkan di sana.
Dalam pada itu, Nancy menggesa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang ingin menyalurkan bantuan supaya berkoordinasi dengan pihak berkaitan seperti Petronas dan JKM bagi memastikan bantuan sampai dengan lebih tersusun.
“Kerajaan negeri Selangor, Petronas dan banyak yayasan telah menghulurkan bantuan, tetapi kami mahu elakkan lambakan barang di PPS kerana ruang terhad. Jadi, kami akan mencari kaedah terbaik untuk menyusun bantuan yang diberikan,” katanya.
Nancy turut menyatakan kemungkinan penempatan semula mangsa ke PPS lain jika keadaan memerlukan, dan usaha ini sedang dipertimbangkan.
Oleh Amanda L.