KUCHING: Atlet Sarawak yang memenangi pingat dalam temasya Para Sukan Malaysia (SUKMA) XXI Sarawak 2024 bakal menerima jumlah insentif yang sama diberikan kepada pemenang pingat SUKMA sebelum ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Openg telah mengumumkan pemberian insentif RM15,000 kepada pemenang pingat emas, RM5,000 kepada pemenang perak dan RM3,000 kepada pemenang gangsa.
Katanya, jumlah insentif yang sama akan turut diberikan kepada atlet Para SUKMA, bagi memastikan mereka menerima ganjaran setara seperti yang dinikmati pemenang pingat SUKMA 2024.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh Jabatan Penerangan Sarawak (JAPEN) selepas kunjungan hormat ke atas Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar di Astana Negeri Sarawak hari ini.
Kunjungan tersebut bertujuan menjemput Wan Junaidi dan isteri, Toh Puan Fauziah Mohd. Sanusi untuk menghadiri Majlis Perasmian Para SUKMA XXI Sarawak 2024 yang dijadualkan berlangsung di Stadium Perpaduan Kuching pada 22 September ini.
Temasya Para SUKMA XXI Sarawak bakal diadakan dari 22 hingga 28 September di Kuching, melibatkan 10 jenis sukan dan 328 acara.
Hadir sama Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-kanak Sarawak Datuk Rosey Yunus; Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Datuk Mohammad Razi Sitam; Setiausaha Tetap KPWK, Datu Felicia Tan Ya Hua; Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS) Semawi Mohamad serta Timbalan Pengarah Unit Protokol Istiadat dan Pengurusan Acara Sarawak (UPPANS) Awang Ikman Awang Sepian.