
BINTULU: Langkah kerajaan Sarawak menyediakan pendidikan tinggi percuma disifatkan sebagai usaha strategik dalam membuka peluang lebih luas kepada anak negeri mendapatkan akses pendidikan berkualiti.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, dasar tersebut dilaksanakan bagi memastikan lebih ramai rakyat Sarawak dapat melanjutkan pengajian ke peringkat universiti tanpa dibebani masalah kewangan.
Katanya, pelaksanaan inisiatif berkenaan turut mencerminkan komitmen kerajaan Sarawak dalam membina masa depan negeri melalui pembangunan modal insan berpendidikan dan berkemahiran tinggi.

“Mulai tahun ini, rakyat Sarawak yang melanjutkan pengajian ke universiti akan menikmati pendidikan percuma tanpa mengira status kewangan, kaum atau agama.
“Selagi mereka mahu belajar, kerajaan Sarawak akan memberikan peluang pendidikan percuma.
“Ini merupakan usaha untuk membangunkan modal insan dan melahirkan lebih ramai bakat untuk negeri ini,” katanya semasa berucap pada program ‘Bodhi Blessings Gathering 2026’ di Dewan Suarah Bintulu di sini, hari ini.

Beliau berkata, pembangunan pendidikan menjadi antara agenda penting kerajaan Sarawak dalam memastikan rakyat negeri ini mampu bersaing dalam pelbagai sektor ekonomi baharu.
Menurutnya, Sarawak kini memerlukan lebih ramai graduan dan tenaga profesional bagi memenuhi permintaan industri terutama dalam bidang teknologi, tenaga hijau dan pembangunan mampan.
Tambah beliau, peluang pendidikan yang lebih inklusif diyakini mampu membantu meningkatkan taraf hidup rakyat selain melahirkan generasi muda yang berilmu dan berdaya saing.
Oleh Carolyne Utih