
SARIKEI: Bantuan peralatan kesihatan bernilai keseluruhan RM50,000 telah disalurkan kepada 13 Ketua Isi Rumah (KIR) yang terlantar dan Orang Kurang Upaya (OKU) di Daerah Sarikei, Meradong dan Saratok.
Penyerahan bantuan tersebut dilaksanakan menerusi sesi kedua Program Penyerahan Bantuan Inisiatif Kesejahteraan Rakyat Malaysia MADANI (Sejahtera MADANI) yang diadakan secara terus dari rumah ke rumah pada petang semalam.
Hadir bagi menyampaikan bantuan ialah Pegawai Pembangunan Zon Sri Aman, Radiah Muhamed yang mewakili Pengarah Pejabat Pembangunan Negeri Sarawak, Dato Jasni Jubli.
Antara peralatan yang disumbangkan ialah mesin sedutan kahak, lampin pakai buang, kerusi roda dan tiub makanan mengikut keperluan penerima.

Program memberi tumpuan kepada Ketua Isi Rumah (KIR) eKasih yang terlantar dan golongan OKU yang memerlukan bantuan peralatan kesihatan bagi memudahkan urusan penjagaan harian.
Sumbangan tersebut merupakan manifestasi keprihatinan kerajaan dalam membantu mengurangkan beban kos sara hidup yang ditanggung oleh keluarga penerima, khususnya mereka yang memerlukan penjagaan berterusan.
Inisiatif itu juga selaras dengan aspirasi Kerajaan Malaysia MADANI yang menekankan kesejahteraan rakyat serta memastikan tiada golongan yang tercicir daripada menerima bantuan yang sewajarnya.
Kerajaan sentiasa komited membantu rakyat keluar daripada kepompong kemiskinan melalui pendekatan yang menyeluruh dan berfokus, termasuk menyediakan bantuan berdasarkan keperluan sebenar penerima.

Pendekatan penyerahan bantuan secara terus ke rumah turut memudahkan urusan penerima yang mempunyai kekangan pergerakan selain membolehkan keadaan mereka dinilai secara lebih dekat.
Program tersebut merupakan antara inisiatif kebajikan kerajaan yang dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan golongan kurang bernasib baik terus menerima perhatian dan bantuan yang diperlukan.
Terdahulu, pada sesi pagi, Radiah telah menyerahkan baucar tunai bernilai RM500 kepada 50 KIR dari Daerah Sarikei, Meradong, Kabong dan Saratok yang berdaftar dalam sistem eKasih dengan jumlah nilai keseluruhan RM25,000.
Oleh Earl Anek