SIBU: Industri semikonduktor berpotensi besar yang akan menjadi keperluan utama dalam era teknologi masa depan.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr Annuar Rapa’ee, berkata bidang ini bakal mempunyai permintaan tinggi dalam kerjaya masa akan datang dan sangat relevan dengan dunia masa kini yang sedang menuju dalam pembangunan teknologi.
“Memilih kerjaya dalam industri semikonduktor, terutamanya dalam reka bentuk IC (litar bersepadu) bukan sahaja memberikan keselamatan pekerjaan tetapi juga peluang untuk menyertai industri global yang sedang membentuk masa depan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan IC Design Make-A-Thon 2024, yang diadakan dari 25 hingga 27 Oktober lalu di Universiti Teknologi Sarawak (UTS) di sini hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka itu berkata bidang reka bentuk IC dan penghasilan cip menawarkan gaji permulaan antara RM4,000 hingga RM6,000 untuk mereka yang memiliki kemahiran yang diperlukan.
“Sektor semikonduktor, teknologi, kejuruteraan, dan bidang STEM lain sedang berkembang pesat, menyediakan peluang signifikan untuk kejayaan kerjaya jangka panjang,” ujarnya.
Sebagai Pengerusi UTS, katanya, beliau menekankan pentingnya kursus yang relevan dengan perkembangan industri berasaskan teknologi untuk mencipta peluang kerjaya.
“Kami di UTS mengutamakan kursus yang sesuai dengan keperluan industri masa depan. Kami ingin memastikan pelajar tidak hanya menguasai kemahiran tetapi juga mendapatkan pekerjaan yang sesuai,” tegasnya.
Dr Annuar juga mengingatkan semua ahli lembaga UTS dan pensyarah untuk memastikan kursus baru yang diperkenalkan sejajar dengan keperluan industri yang akan datang.
Oleh TARANI LANTING