SIBU: Persekutuan Pemilik Bengkel Kereta Malaysia mencadangkan agar kerajaan memperkenalkan program subsidi khusus bagi menyokong juruteknik tempatan mendapatkan latihan lanjutan di luar negara bagi meningkatkan kemahiran teknikal mereka.
Presidennya, Penghulu Teo Nging Poh berkata, ini bukan sahaja akan meningkatkan profesionalisme juruteknik, malah menjadikan keseluruhan industri lebih berdaya saing dan mampu memenuhi keperluan pembaikan dan perkhidmatan automotif moden.
“Dengan inovasi teknologi automotif yang berterusan, peningkatan kenderaan tenaga baharu, dan populariti teknologi pemanduan pintar, tenaga teknikal perlu sentiasa meningkatkan kemahiran mereka untuk memenuhi keperluan teknologi canggih ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis Angkat Sumpah Ahli Majlis ke-13 (2024-2026) Persekutuan Pemilik Bengkel Kereta Malaysia dan Majlis Makan Malam Ulang Tahun ke-45 Persatuan Bengkel Kereta Sibu, serta Majlis Angkat Sumpah Ahli Majlis ke-23 (2024-2025), malam tadi.
Teo berkata, industri tersebut kini sedang menghadapi kekurangan bakat mahir yang teruk, terutamanya dalam jawatan teknikal.
Katanya, banyak bengkel pembaikan, yang didorong oleh keperluan untuk pengembangan perniagaan dan kemajuan teknologi, sangat memerlukan tenaga teknikal yang sesuai.
“Bagaimanapun, disebabkan oleh sekatan dalam permohonan permit kerja bagi pekerja asing, kekurangan ini semakin meruncing.
“Kami berharap kerajaan dapat memahami keadaan sebenar industri dan melonggarkan sedikit dasar pengambilan pekerja asing, agar bengkel dapat mendapatkan permit kerja untuk pekerja asing dengan lebih mudah bagi memenuhi permintaan pasaran dan mengurangkan kekurangan tenaga kerja,” katanya.
Beliau berkata langkah sebegini bukan sahaja dapat memastikan operasi bengkel berjalan lancar, malah menyokong perkembangan berterusan industri perkhidmatan automotif.
Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Dato Sri Tiong King Sing diwakili oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bawang Assan, Dato Sri Wong Soon Koh merasmikan majlis tersebut.
Oleh AKUN GIMAN