Indonesia rampas 2.6 tan metamphetamina dalam serbuan besar-besaran

Facebook
WhatsApp
PIHAK berkuasa menahan 10 anggota kru yang kesemuanya merupakan warga Myanmar. Foto AGENSI

JAKARTA, Indonesia: Indonesia merampas 2.6 tan metamphetamina cecair yang disembunyikan di atas sebuah kapal berbendera Tanzania dalam salah satu rampasan dadah terbesar di negara itu, dengan 10 anggota kru ditahan, kata seorang pegawai kanan antinarkotik.

Agensi Narkotik Nasional berkata dalam satu kenyataan bahawa pihaknya menerima maklumat risikan mengenai sebuah kapal yang belayar dari Sarawak, Malaysia melalui Laut Andaman dan dipercayai membawa dadah ke Indonesia.

Agensi berkenaan, dalam operasi bersama pegawai kastam, memintas kapal MV Rain Maker yang belayar menggunakan nama palsu pada lewat Isnin berhampiran Bengkalis di wilayah Riau.

“Hasil pemeriksaan kapal itu menemukan 2.6 tan metamphetamina, atau meth cecair, yang disimpan dalam lapan tong air dan sebuah tangki air,” kata pegawai agensi antinarkotik, Roy Hardi Siahaan.

Anjing pengesan turut menemukan lebih 1.5 juta batang rokok haram di atas kapal berkenaan, menurut agensi itu.

Pihak berkuasa menahan 10 anggota kru yang kesemuanya merupakan warga Myanmar.

Tahun lalu, pihak berkuasa mengumumkan rampasan dadah terbesar pernah direkodkan di Indonesia selepas merampas dua tan syabu yang disembunyikan di atas sebuah bot nelayan yang belayar dari Laut Andaman menuju Pulau Batam.

Rampasan pada Isnin itu merupakan kes kedua membabitkan kapal berbendera Tanzania yang dipintas di kawasan berkenaan bulan ini.

Pada 8 Ogos, pihak berkuasa Indonesia merampas 1.3 tan ketamin daripada sebuah kapal yang belayar di perairan sekitar Kepulauan Riau berhampiran Singapura.

Lapan anggota kru di atas kapal berkenaan  tujuh warga Myanmar dan seorang warga Taiwan  ditahan.

Indonesia mempunyai antara undang-undang antidadah paling ketat di dunia, termasuk hukuman mati terhadap pengedar dadah, namun mengekalkan moratorium terhadap pelaksanaan hukuman mati sejak beberapa tahun lalu. – AFP