TOKYO, 29 Nov: Syarikat pemula Jepun, T2 Inc berjaya menguji lori autonomi di jalan awam, sekali gus membuka jalan kepada penggunaan lori tanpa pemandu bagi menangani masalah kekurangan pemandu dalam industri logistik, lapor Kyodo News.
Kejayaan ujian oleh syarikat berpangkalan di Tokyo itu merupakan satu perkembangan penting memandangkan pemanduan di jalan awam memerlukan teknologi keselamatan yang lebih canggih berbanding di lebuh raya kerana turut membabitkan pejalan kaki dan penunggang basikal.
Dalam ujian yang bermula pada pertengahan September, lori autonomi itu bergerak sejauh sehingga 600 meter di jalan awam sebelum berjaya memasuki lebuh raya.
Lori itu menggunakan teknologi pemanduan automatik Tahap 2 yang membolehkannya mengawal stereng dan kelajuan secara automatik, namun pemandu masih boleh mengambil alih kawalan kenderaan.
Ujian itu dijalankan bagi menilai keupayaan lori berkenaan mengekalkan jarak selamat daripada pejalan kaki dan penunggang basikal.
T2 menyasarkan untuk memulakan operasi komersial menggunakan teknologi pemanduan automatik Tahap 4, yang membolehkan kenderaan beroperasi tanpa pemandu dalam keadaan tertentu, mulai tahun fiskal 2027.
Menerusi sistem itu, lori tanpa pemandu akan mengangkut barangan antara hab logistik yang terletak berhampiran susur keluar dan masuk lebuh raya.
“Cabaran seterusnya adalah untuk membangunkan sistem yang mampu memastikan keselamatan walaupun berlaku perubahan cuaca buruk secara tiba-tiba atau kerosakan kenderaan,” kata seorang pegawai syarikat itu.
Pengeluar lori utama Jepun turut mempergiat usaha membangunkan teknologi berkenaan.
Pada Februari, Mitsubishi Fuso Truck and Bus Corp bersama syarikat penghantaran bungkusan Yamato Transport Co menguji sebuah lori separa treler dengan sistem pemanduan automatik yang membawa muatan serta masih mempunyai pemandu.
Lori itu menempuh perjalanan kira-kira 100 kilometer di lebuh raya di Wilayah Shizuoka. Kedua-dua syarikat menyasarkan penggunaan lori tanpa pemandu dengan teknologi Tahap 4 pada masa hadapana – Bernama




