Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KOLUMNIS
  • Imbasan Sukan Borneo 1962
  • KOLUMNIS

Imbasan Sukan Borneo 1962

Utusan Sarawak 2 hours ago

ANTARA acara sukan terbesar yang diadakan di utara Borneo semasa penjajahan British adalah Sukan Borneo. Sukan ini mempertemukan jaguh sukan di tiga wilayah koloni British iaitu Sarawak, Borneo Utara (Sabah) dan Brunei.  

Sukan Borneo telah diadakan pertama kalinya di Seria, Brunei pada 30 Julai 1955. Badan yang mengendali dan menyelaras sukan ini adalah British Borneo Amateur Athletic Board. 

Tujuan penganjuran sukan ini adalah untuk memperkasakan standard sukan di Borneo, di samping berfungsi sebagai platform pemilihan olahragawan dan olahragawati untuk menyertai pertandingan di peringkat antarabangsa.

Temasya sukan ini mendapat sokongan kerajaan British, dan Persuruhjaya Tinggi British, Malcom MacDonald bersetuju untuk menghadiahkan piala bagi pemenang bahagian lelaki.  

Sultan Brunei, Sultan Omar Ali Saifuddien III pula bermurah hati untuk menghadiahkan piala untuk pemenang bahagian wanita.

Tuan rumah

Sarawak tidak terlepas menyertai acara dalam Sukan Borneo. Sarawak juga telah dipilih beberapa kali menjadi tuan rumah untuk acara sukan terbesar di Borneo ini.  

Antara pencapaian paling manis Sarawak dalam sukan ini adalah Sukan Borneo ke-8 pada 1962.

Penganjuran sukan ini pada 1962 adalah penganjuran kedua bagi Sarawak. Sukan Borneo kelapan di Sarawak ini telah diadakan di Padang Jubilee. Sukan ini berlangsung selama dua hari dari 13 hingga 14 Julai 1962.  

Sukan Borneo ini dibuka secara rasmi oleh Pegawai Pentadbiran Kerajaan, F. D. Jakeway. Ini kerana Gabenor Sarawak Sir Alexander Waddell berada di England semasa temasya sukan tersebut berlangsung.  

Pada hari pembukaan sukan ini, Gabenor Borneo Utara, Sir William A. C. Goode dan Sultan Brunei, Sultan Omar Ali Saifuddin juga telah mengirim perutusan pada hari pembukaan sukan tersebut.

Pencapaian

Sarawak melakar sejarah tersendiri dalam kejohanan ini apabila muncul sebagai juara keseluruhan buat julung kalinya dengan mengumpul 144 mata, sekali gus meletakkan negeri ini di kedudukan pertama dalam pungutan mata keseluruhan.

Tempat kedua adalah Borneo Utara yang mendapat 121 mata.  Pasukan Brunei ditempat ketiga dengan jumlah keseluruhan markahnya adalah 95 mata.

Lebih membanggakan, Sarawak turut memenangi tiga piala berprestij dalam kejohanan tersebut. Antaranya termasuk juara keseluruhan bahagian lelaki bagi Piala Malcolm MacDonald.

Kejayaan ini merupakan pencapaian yang signifikan bagi Sarawak setelah sekian lama menduduki tempat kedua di belakang Borneo Utara selama tujuh tahun berturut-turut.

Sarawak turut berjaya menjuarai dua kategori lain, masing-masing membawa pulang Piala Sir Anthony Abell bagi acara lumba berganti-ganti 4×110 ela lelaki dan Piala Sir Roland Turnbull bagi acara 4×440 ela lelaki.

Tambahan daripada itu, Sarawak juga memenangi Piala MacIntosh yang merupakan piala untuk pasukan yang memecah rekod terbanyak. Dalam sukan tersebut sebanyak 15 rekod telah dipecahkan.  

Sementara itu, Sarawak berjaya memecahkan sembilan daripada 15 rekod yang dipertandingkan, sekali gus melayakkan mereka merangkul Piala MacIntosh. Dalam pada itu, pasukan wanita Brunei mencatatkan rekod baharu dalam empat acara, manakala Borneo Utara pula memecahkan dua rekod.

Wanita

Walaupun Brunei duduk ditangga ketiga tetapi prestasi olahragawatinya mengatasi olahragawati dari Sarawak dan Borneo Utara. Dalam hal ini Brunei memenangi Piala Sultan Brunei dengan 72.5 mata.  

Sarawak ditempat ketiga dengan 56.5 mata. Tempat kedua pula dimenangi oleh Borneo Utara dengan 63 mata.

Kemenangan pasukan Brunei kali ini menandakan kejayaan julung kali mereka menjulang piala berkenaan. Kejayaan Brunei bukan setakat piala tersebut tetapi mereka juga memenangi piala untuk lari berganti-ganti perempuan 4 x 110 ela. Piala yang dimenangi oleh Brunei ini disumbangkan oleh Sarawak Shell Oilfields Limited.

Pencapaian

Dalam sukan ini pelari pecut Sarawak iaitu Joseph Lee telah memecah dua rekod apabila beliau memenangi acara 100 ela dan 220 ela. Beliau juga membantu pasukan 4 x 110 ela untuk lari berganti-ganti, dengan Sarawak memengani acara sukan tersebut.

Selain beliau, beberapa lagi olahragawan dan olahragawati Sarawak yang cemerlang dan memenangi acara serta memecah rekod. Antara mereka ini adalah Salleh Abdul Wahab yang memecah rekod untuk acara lumba berhalangan 440 ela. Larian untuk 120 ela berhalangan pula rekodnya dipecah oleh Kuda Dita.  

Sementara itu, Latif Oyen mencatatkan kemenangan bergaya dalam acara larian 880 ela dengan memecahkan rekod sedia ada. William Lee pula mencatatkan kemenangan dalam acara 440 ela, sekali gus memperbaharui rekod bagi acara tersebut.

Pasukan wanita Sarawak juga tidak ketinggalan mengharumkan nama Sarawak apabila Kueh Swee Hong memenangi acara lari berhalangan untuk 80 meter. Pasukan lelaki untuk acara lumba 4 x 440 ela pula memecah rekod dalam larian berganti-ganti tersebut.

Rekod 

Selain Sarawak, olahragawan dan olahragawati Brunei turut mencipta kejayaan apabila A. Sibidol dan Rose Chong memecahkan rekod dalam acara padang. 

Pasukan lari berganti-ganti perempuan Brunei bagi acara 4 x 110 ela pula menambah kegembiraan kontinjen tersebut apabila turut memecahkan rekod acara berkenaan.

Olahragawan-olahragawan Borneo Utara yang memecahkan rekod pula ialah Dilbagh Singh Kler, yang memperbaharui rekodnya sendiri pada 1961 dalam acara trek. 

Dalam acara padang, seorang lagi olahragawan Borneo Utara yang memecahkan rekod ialah Stanley Hill.

Selepas Sukan Borneo Kelapan ini, tuan rumah sukan ini telah diserahkan kepada Borneo Utara. Bagaimanapun, penganjuran kejohanan ini tidak berlangsung secara berkala. 

Berbeza dengan temasya sukan antarabangsa yang lain, jadual penganjurannya tidak ditetapkan pada selang waktu yang tetap, sebaliknya bergantung kepada kesepakatan dan kesediaan pihak tuan rumah dalam kalangan tiga wilayah tersebut.

Antara sumbangan utama Sukan Borneo adalah peranan temasya ini sebagai wadah dalam melahirkan olahragawan dan olahragawati yang berkaliber. 

Prestasi cemerlang yang dipamerkan oleh jaguh-jaguh sukan tersebut bukan sahaja menyerlah di peringkat wilayah, malah turut diakui serta digeruni di arena sukan Asia Tenggara.

Dr. Suffian Mansor adalah Ketua Program Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Tags: Dr Suffian Mansor

Continue Reading

Previous: Dron kamikaze bagaikan peluru berpandu pintar

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.