Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KOLUMNIS
  • Dron kamikaze bagaikan peluru berpandu pintar
  • KOLUMNIS

Dron kamikaze bagaikan peluru berpandu pintar

Utusan Sarawak 5 hours ago

PEPERANGAN yang melanda Asia Barat kini berlanjutan melebihi 50 hari meskipun gencatan senjata dikuatkuasakan. Pada peringkat awal, ada pihak menjangka pertempuran ini hanya akan berlangsung dalam tempoh singkat iaitu sekitar tujuh hari sahaja, namun perkembangan di lapangan membuktikan jangkaan tersebut meleset.

Dunia sedia maklum bahawa Amerika Syarikat ialah kuasa besar dengan kekuatan ketenteraan yang sangat canggih dan moden. Sebaliknya, Iran sering digambarkan sebagai negara yang bergantung pada kelengkapan persenjataan yang lebih konvensional walaupun namanya kerap dikaitkan dengan potensi kekuatan nuklear.

Di tengah suasana yang tidak menentu ini, muncul satu perkara yang menarik perhatian di sebalik laporan politik dan ekonomi yang mendominasi.

Perhatian itu tertumpu pada bagaimana Iran memilih untuk bertindak balas terhadap serangan besar yang dilancarkan oleh Amerika Syarikat dan sekutunya.

Walaupun Amerika Syarikat menyerang dengan bertubi-tubi menggunakan peluru berpandu berat dan berkelajuan tinggi, Iran mempamerkan satu pendekatan yang jauh lebih anjal dan sukar dijangka apabila memilih untuk membalas dengan dron kamikaze.

Dron kamikaze digelar sedemikian kerana fungsinya yang bertindak seperti peluru berpandu pintar dengan misi satu hala. Tidak seperti dron konvensional yang melepaskan bom dan kembali ke pangkalan, dron ini direka sebagai senjata sekali guna yang membawa bahan letupan terus ke lokasi sasaran.

Sebaik sahaja sasaran dikenal pasti, ia akan menjunam dan meletup semasa impak, sekali gus memusnahkan dirinya sendiri demi memastikan kerosakan yang maksimum terhadap sasaran yang diserang.

Serangan ini unik kerana menggunakan taktik ‘swarm’ iaitu serangan serentak oleh kumpulan dron yang mampu membanjiri dan mengatasi sistem pertahanan musuh. Ia bagaikan sekumpulan lebah yang mengharungi mangsa menyebabkan kesukaran untuk menepis setiap satu secara serentak.

Iran turut memperoleh kelebihan psikologi apabila berjaya menyasarkan lokasi strategik dan aset ketenteraan milik Amerika serta sekutunya dengan kos yang jauh lebih rendah berbanding nilai aset dan senjata pihak lawan.

Sebagai contoh, sebuah dron kamikaze mungkin berharga puluhan ribu dolar sahaja, sedangkan peluru berpandu pemintas yang digunakan untuk menembaknya boleh mencecah ratusan ribu hingga jutaan dolar bagi setiap satu pelancaran.

Keupayaan ini bukan sahaja memberi impak fizikal, tetapi juga menjejaskan keyakinan musuh terhadap keberkesanan sistem pertahanan mereka sendiri. Setiap satu dron yang menghampiri, ia seakan-akan menjadi mimpi ngeri kepada mereka.

Peperangan asimetri ini memperlihatkan keupayaan untuk bertahan tidak lagi diukur semata‑mata melalui aset ketenteraan yang mahal dan canggih. Keupayaan tersebut kini boleh dicabar dengan kebijaksanaan, kreativiti taktikal dan kemampuan menghasilkan aset kecil dalam jumlah besar pada kos yang jauh lebih rendah.

Dron kamikaze paling ikonik Iran ialah siri Shahed, terutamanya model Shahed-136 yang mempunyai reka bentuk sayap delta yang tersendiri dan dikuasakan oleh enjin omboh ringkas yang mengeluarkan bunyi dengungan kuat sehingga digelar sebagai motosikal terbang di medan perang.

Walaupun kelajuannya tidak setanding jet pejuang, keupayaannya untuk terbang rendah dan digunakan dalam jumlah yang besar membolehkannya memberi tekanan berterusan terhadap pertahanan lawan.

Sebelum perkataan dron digunakan secara umum, istilah yang lebih tepat dalam bahasa teknikal ialah pesawat tanpa pemandu atau UAV. Istilah ini merujuk kepada kerangka fizikal pesawat yang mampu terbang tanpa juruterbang di dalam kokpit, sama ada dikawal dari jarak jauh atau bergerak mengikut atur cara penerbangan yang telah ditetapkan.

Pada peringkat awal, fungsi UAV tertumpu kepada tugasan tinjauan dan pemetaan bagi mengelakkan risiko nyawa juruterbang di zon konflik. Selain itu, ia juga digunakan untuk mengintip di lokasi yang mempunyai tahap ancaman tinggi atau kawasan yang sukar dicapai oleh aset ketenteraan konvensional.

Penggunaan UAV dalam konteks ini membolehkan pihak perisikan mengumpul data strategik secara lebih selamat tanpa mendedahkan operator kepada bahaya yang tidak perlu.

Model UAV terawal yang digunakan secara meluas ialah RQ-2 Pioneer yang diperkenalkan pada pertengahan 1980-an. Pesawat kecil sepanjang empat meter dan seberat sekitar 200 kilogram ini dikuasakan oleh enjin omboh dua lejang serta hanya mampu terbang pada kelajuan kira-kira 185 kilometer sejam.

Fungsinya terbatas kepada membawa kamera analog atau penderia inframerah untuk menghantar rakaman video secara langsung ke kapal perang atau stesen darat bagi tujuan pembetulan tembakan artileri.

Apabila teknologi semakin maju, istilah UAV yang merujuk kepada pesawat semata-mata tidak lagi mencukupi untuk menggambarkan keseluruhan operasi.

Maka lahirlah istilah sistem pesawat tanpa pemandu atau UAS.

UAS merujuk kepada satu ekosistem lengkap yang merangkumi pesawat, stesen kawalan darat, pautan data, perisian dan sokongan logistik.

Peralihan istilah ini penting kerana ia mencerminkan perubahan besar dalam doktrin ketenteraan moden.

Keupayaan sebenar tidak lagi bergantung pada badan pesawat semata-mata, tetapi pada keseluruhan sistem yang membolehkannya beroperasi secara berkesan.

Evolusi UAS kemudian berkembang pesat dari segi daya tahan penerbangan dan kecerdasan sistem penderia. Jika model awal seperti Pioneer hanya mampu berada di udara selama lima jam dengan jarak kawalan yang terhad, UAS moden seperti MQ-9 Reaper melonjakkan kemampuan tersebut ke tahap yang jauh lebih tinggi.

Reaper mempunyai rentang sayap 20 meter, mampu terbang melebihi 27 jam pada ketinggian 15,000 meter dan membawa muatan yang jauh lebih kompleks termasuk radar bukaan sintetik serta peluru berpandu berpanduan laser.

Seiring dengan kemajuan teknologi kecerdasan buatan dan evolusi cip komputer yang semakin kecil tetapi jauh lebih berkuasa, paradigma ketenteraan terhadap aset udara telah berubah sepenuhnya.

Dalam landskap moden, saiz fizikal atau kelajuan supersonik tidak lagi menjadi ukuran utama kehebatan sesebuah jentera. Keutamaan kini beralih kepada fungsi, autonomi dan kecerdasan sistem yang dipasang pada dron.

Pemasangan AI memberikan kelebihan taktikal yang besar, khususnya dari segi autonomi dan ketepatan serangan. Dron mampu mengenal pasti objek di lapangan tanpa bergantung sepenuhnya kepada arahan manusia apabila dipasangkan dengan algoritma pengecaman sasaran automatik.

Sistem ini membolehkan dron menilai data visual secara masa nyata untuk membezakan aset tempur musuh daripada objek lain, sekali gus membantu serangan dilakukan dengan lebih tepat dan lebih terarah.

Malah reka bentuk dron kini tidak lagi terhad kepada bentuk pesawat tradisional. Ia hadir dalam pelbagai konfigurasi yang menggunakan rangka empat kipas, enam kipas atau lapan kipas, selain model bersaiz mikro yang menyerupai serangga untuk tujuan pengintipan jarak dekat.

Namun di sebalik segala kelebihan itu, dron tetap membawa sisi yang gelap. Walaupun ia direka untuk mengurangkan risiko keselamatan kepada pengendalinya, pada sisi lain ia tetap membawa potensi kerosakan dan kehilangan nyawa yang amat besar terhadap sasaran.

Sekalipun kita jauh, kesan daripada peperangan ini turut mempengaruhi kemakmuran kita di sini. Semoga keamanan segera dapat dicapai dan terhindar dari segala musibah yang lebih besar.

  • Penulis memiliki Sarjana Muda Kejuruteraan (Mekanikal-Aeronautik) dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan pernah berkhidmat di Hornbill Skyways Sdn Bhd.

Continue Reading

Previous: GPS: Perlu gabungan muka baharu, lama untuk calon PRN

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.