
SIMANGGANG: Institut Koperasi Malaysia (IKMa) Zon Sarawak akan mengadakan Program Promosi Turun Padang JOM@COOP bagi mempromosikan Latihan dan Pendidikan Koperasi 2025 di Bahagian Sri Aman pada 10 April nanti di Hotel Seri Simanggang.
Menurut Pensyarah Kanan IKMa ZON Sarawak, Mohamad Suandi Mortadza berkata beberapa bahagian di seluruh Sarawak telah dijalankan program ini termasuklah Miri, Serian, Sibu, Lawas, Kuching, Bintulu dan Saratok.
“Dianggarkan seramai 100 peserta terdiri daripada anggota lembaga koperasi, anggota dan kakitangan koperasi serta masyarakat yang berminat dari seluruh kawasan sekitar Sri Aman, Betong dan lain-lain akan turut hadir.
“Program ini merupakan salah satu aktiviti tahunan yang dijalankan oleh IKMa bagi meningkatkan kefahaman komuniti koperasi serta ahli dalam membangunkan ekonomi komuniti mereka, setempat dan seterusnya memberi impak kepada negara,” katanya dalam satu kenyataan kepada media hari ini.

Mohamad Suandi berkata selain itu, program ini dapat mempromosikan kelebihan dan keistimewaan koperasi kepada masyarakat serta menghebahkan perkhidmatan dan produk yang ditawarkan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), IKMa dan agensi kepada gerakan koperasi dan secara umumnya masyarakat.
“Program ini turut memberi satu peluang kepada peserta untuk menimba ilmu pengetahuan dan idea baru menerusi satu sesi perkongsian tentang Paku Midin: Jana Pendapatan Lumayan yang akan dikongsikan oleh pihak Jabatan Pertanian Sarawak.
“Pengisian perkongsian ini merangkumi teori dan demonstrasi penanaman midin secara efektif serta mengenai produk selepas tuai midin yang mana peserta akan mendapat maklumat dan ilmu yang bermanfaat dalam usaha menjana sosio ekonomi bukan sahaja koperasi malah kepada masyarakat sekitar.
“Selain itu, program ini mampu membina jaringan korporat dan perniagaan antara koperasi dan usahawan yang hadir,” katanya sambil menambah program ini dijangka dirasmikan oleh Ahli Parlimen Sri Aman, Dato Sri Doris Sophia Brodie.
Peserta berminat boleh mendaftar di pautan https://forms.gle/R5e3ZQgs4bdkhLYu5
Sebarang pertanyaan, hubungi kami di talian 0128702973 (Vronica).
Atau menghubungi urus setia penganjur di talian 019-8894262 (Siti Zaleha).
Pihak penganjur berharap agar program ini mendapat sambutan daripada gerakan koperasi, usahawan dan masyarakat setempat.
Oleh Adi Saparman