TOKYO: Pembida tertinggi di sebuah pasar ikan di Tokyo, berkata mereka membayar AS$1.3 juta (RM5.85 juta) untuk seekor ikan tuna hari ini, harga kedua tertinggi pernah dibayar pada lelongan tahunan berprestij sempena tahun baharu.
Restoran sushi berbintang Michelin, Onodera Group, berkata mereka membayar 207 juta yen untuk tuna sirip biru seberat 276 kilogram (kg), kira-kira saiz dan berat sebuah motosikal.
Ia adalah harga kedua tertinggi yang dibayar pada lelongan pembukaan tahun ini di pasar ikan utama di Tokyo sejak data seumpamanya mula dikumpul pada 1999.
Pembeli yang mempunyai kuasa kini membayar harga tertinggi selama lima tahun berturut-turut, yang menjadi kebanggaan kepada mereka dan mendapat perhatian meluas media di Jepun.
“Tuna pertama adalah sesuatu yang bertujuan membawa nasib baik,” kata pegawai, Onodera Shinji Nagao kepada pemberita selepas lelongan itu.
“Hasrat kami adalah orang ramai akan makan tuna ini dan mempunyai tahun yang indah.”
Onodera Group membayar 114 juta yen untuk tuna dengan harga tertinggi itu pada tahun lalu.
Bagaimanapun, harga lelongan tertinggi adalah 333.6 juta yen untuk tuna sirip biru seberat 278 kg pada 2019, ketika pasar ikan itu dipindahkan dari kawasan tradisionalnya, Tsukiji ke kemudahan moden di Toyosu yang berdekatan.
Bidaan rekod itu dibuat Kiyoshi Kimura yang mengisytiharkan dirinya sebagai “Raja Tuna”, yang mengendalikan rangkaian restoran nasional, Sushi Zanmai.
Ketika pandemik COVID-19, tuna tahun baharu hanya mendapat sebahagian kecil daripada harga tertinggi yang biasa diletakkan kerana orang ramai digalakkan untuk tidak makan di luar dan restoran mempunyai operasi yang terhad. – AFP