SIBU: Kerajaan terus komited membantu golongan berpendapatan rendah meningkatkan taraf hidup menerusi Program Sejahtera MADANI Fokus Peningkatan Pendapatan yang menyediakan bantuan peralatan bagi menjana sumber pendapatan secara mampan.
Timbalan Pengarah II Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) Sarawak, Aziba Rashidi berkata, program itu selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI untuk memastikan tiada rakyat tercicir daripada arus pembangunan negara.
Menurutnya, bantuan berkenaan bukan sekadar meringankan beban penerima, malah bertujuan membina keupayaan mereka agar mampu berdikari dan meningkatkan pendapatan keluarga dalam jangka panjang.
“Kerajaan sentiasa prihatin dan komited membantu rakyat keluar daripada belenggu kemiskinan melalui pendekatan yang menyeluruh dan berfokus,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pembukaan Program Sejahtera MADANI Fokus Peningkatan Pendapatan (Peralatan) ICU JPM Sarawak Zon Sibu di Dewan Lembaga Amanah Lembaga Kebajikan Islam Sibu (LAKIS), hari ini.
Aziba berkata, program tahun ini melibatkan enam kategori bantuan iaitu jahitan, percetakan, solekan dan dandanan, bakeri dan pastri, gunting rambut serta motosikal, membabitkan keseluruhan 55 penerima.
Katanya, seramai 10 penerima bagi setiap kategori menerima bantuan peralatan bernilai RM50,000, kecuali kategori pencetakan melibatlan lima penerima dengan peruntukan RM25,000 menjadikan keseluruhan peruntukan program berjumlah RM275,000.
Aziba berkata, kemiskinan bukan satu takdir yang diwarisi, sebaliknya kitaran yang boleh diputuskan melalui pendidikan, kerja keras dan sokongan berterusan daripada kerajaan.
Tambahnya, Pejabat Pembangunan Negeri Sarawak akan melaksanakan pemantauan terhadap semua penerima setiap bulan selama setahun bagi memastikan bantuan yang disalurkan dimanfaatkan sepenuhnya untuk meningkatkan pendapatan isi rumah.
Oleh Akun Giman




