
KUCHING: Seorang ibu berusia 40 tahun yang mengalami kecacatan akibat komplikasi diabetes kini meneruskan kehidupan harian dengan bantuan suami dan anak lelakinya berusia 10 tahun di rumah mereka di Jalan Tondong, di sini.
Wanita berkenaan, Rose Khoo, menerima kunjungan bantuan isi rumah daripada Hope Place Kuching baru-baru ini selepas keadaannya yang semakin merosot akibat masalah kesihatan.
Rose sebelum ini menjalani pembedahan amputasi kaki pada April lalu dan dimasukkan ke hospital selama sebulan.
Menurutnya, doktor memaklumkan penggunaan kaki palsu menjadi lebih rumit kerana paras amputasi yang berada di bahagian tengah paha.
Kini, Rose sedang menyesuaikan diri untuk bergerak menggunakan sebelah kaki di rumah, selain sedang memohon kad Orang Kurang Upaya (OKU) bagi mendapatkan sokongan tambahan.
Suaminya, Lawrence, 51, bekerja sebagai juruelektrik dengan pendapatan harian, manakala Rose sebelum ini turut bekerja ketika menetap di Bintulu sebelum kesihatannya merosot dan berpindah ke Kuching.
Dalam keadaan serba terbatas, Rose menjadikan anak tunggalnya, Daniel, sebagai sumber kekuatan apabila dia mengajarkan anaknya kemahiran asas memasak dan mengurus diri sejak kecil.
Daniel yang kini berada di Tahun Empat bukan sahaja mampu memasak nasi, mi dan merebus air, malah turut membantu kerja-kerja rumah harian di samping menjaga ibunya ketika suami bekerja.
Suaminya pula mengambil tanggungjawab menyediakan makanan utama keluarga serta membantu pergerakan Rose di dalam rumah.
Kes keluarga ini mendapat perhatian pekerja sosial dari Hospital Umum Sarawak sebelum bantuan disalurkan oleh Hope Place dalam bentuk bekalan makanan asas dan kerusi roda untuk kegunaan Rose.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menghubungi Hope Place atau Persatuan Kebajikan Harapan Kuching (PKHK) di talian 082-505987 atau 013-5672775, selain boleh menyalurkan sumbangan melalui akaun Maybank 511289001160.