Ibu, anak orang utan diselamatkan daripada kebakaran hutan

Facebook
WhatsApp
ORANG utan dinamakan Raya dan Rayu dipindahkan oleh pegawai Agensi Pemuliharaan Sumber Asli (BKSDA), tentera Indonesia dan Yayasan Orang Utan Antarabangsa (OFI) susulan kebakaran hutan dan tanah di East Kotawaringin, Kalimantan Tengah, pada 2 September 2026. Foto AFP

INDONESIA: Pihak berkuasa Indonesia menyelamatkan seekor orang utan betina bersama anaknya daripada kebakaran hutan di Kalimantan, kata pegawai.

Kepulauan itu sudah beberapa minggu berdepan kebakaran hutan yang menyebabkan jerebu tebal menyelubungi beberapa kawasan di Kalimantan dan Sumatera, selain asap turut merentasi sempadan ke Malaysia, Singapura dan Filipina.

Susulan menerima maklumat, pegawai pemuliharaan menemui orang utan berkenaan di wilayah Kalimantan Tengah selepas haiwan itu dilihat berpaut pada bahagian atas sebatang pokok, kata pegawai agensi pemuliharaan tempatan, Muriansyah, kepada AFP.

Haiwan berkenaan dikelilingi jerebu yang berpunca daripada kawasan tanah gambut berhampiran yang terbakar, menyebabkan pegawai segera memindahkannya.

PIHAK berkuasa Indonesia menyelamatkan ibu dan anak orang utan berkenaan daripada asap kebakaran hutan di pulau Borneo, kata pegawai pada 3 September. Foto AFP

“Sekiranya kami tidak menjalankan operasi menyelamat, saya bimbang terhadap keselamatan orang utan itu,” kata Muriansyah, yang seperti kebanyakan rakyat Indonesia hanya menggunakan satu nama, sambil menyatakan risiko kesihatan yang mungkin ditimbulkan oleh jerebu.

Ketika operasi dijalankan, penyelamat mendapati orang utan berkenaan sedang membawa anaknya.

Muriansyah berkata, pegawai menamakan orang utan betina yang dianggarkan berusia 20 tahun itu Raya, sempena nama jalan berhampiran lokasi ia ditemui, manakala anak betina berusia setahun itu dinamakan Rayu.

Beliau berkata, keadaan kawasan yang baharu terbakar serta faktor kegelapan turut menambah kerumitan operasi menyelamat yang dijalankan pada waktu malam.

Pemeriksaan veterinar awal mendapati kedua-dua orang utan berkenaan tidak mengalami kecederaan dan tidak terjejas teruk akibat asap, kata Muriansyah.

Pegawai agensi sumber alam dan pemuliharaan wilayah Kalimantan Tengah, Heriyanto, berkata kedua-dua orang utan itu kemudian dibawa ke sebuah klinik untuk pemerhatian.

“Sekiranya mereka sihat dan boleh dilepaskan segera ke habitat liar, mereka akan dilepaskan,” katanya kepada AFP.

Pihak berkuasa di Kalimantan Barat menyelamatkan sekurang-kurangnya tujuh ekor orang utan dari kawasan yang terjejas akibat kebakaran hutan bulan lalu.

Antaranya ialah seekor orang utan bernama Sampurna yang diselamatkan pada 30 Ogos ketika kawasan berkenaan diselubungi asap tebal akibat kebakaran, menurut kenyataan agensi pemuliharaan tempatan.

Tinjauan kerajaan pada 2016 menganggarkan populasi orang utan di Borneo berjumlah kira-kira 57,000 ekor. – AFP