KENANGAN … Dato Gerald Rentap Jabu merakam kenangan bersama yang lain pada Majlis Ibadah Korban di
Kampung Melayu Betong, kelmarin.
BETONG: Ibadah korban merupakan landasan terbaik bagi masyarakat di negeri ini ketepikan fahaman politik demi menjaga keharmonian, keamanan dan perpaduan dalam satu komuniti.
Menurut Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Gerald Rentap Jabu, ibadah korban juga bukan sahaja dilihat dapat menyemarakkan amalan bersedekah, malah memupuk semangat gotong-royong di kalangan masyarakat Islam di negeri ini.
“Pelaksanaan ibadah korban juga mempunyai kepentingan dari aspek ekonomi dan sosial yang boleh diterjemahkan melalui agihan daging korban yang meliputi serata sosial masyarakat sama ada miskin atau kaya.
“Ini dapat menggambarkan serta memupuk semangat kesepaduan serta menambah semangat setia kawan yang jitu antara masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa hadir pada Majlis Ibadah Korban di Kampung Melayu Betong dekat sini Isnin lalu.
Rentap yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar berkata, sumbangan daripada individu yang berkemampuan dapat menyemarakkan lagi ibadah korban yang dilaksanakan sempena Hari Raya Aidiladha setiap tahun.
Beliau berkata, setiap tahun jumlah mereka yang menghulurkan sumbangan dari segi wang ringgit dan lembu untuk menjayakan ibadah korban semakin meningkat.
“Kita berharap akan tampil lebih ramai individu yang berkemampuan untuk menjayakan ibadah korban di kawasan perkampungan pada tahun akan datang,” ujarnya.
Rentap turut menyatakan rasa kagum dengan semangat tolong menolong semasa aktiviti penyembelihan sekali gus memperlihatkan semangat perpaduan yang tinggi.
Oleh ADI SAFARMAN