KUALA LUMPUR: Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) menggesa supaya diwujudkan pembangunan dan pelaksanaan ujian Covid-19 yang cepat, tepat, berpatutan, mudah untuk dikendalikan, boleh skala dan sistematik untuk semua penumpang sebelum berlepas.
Ia berkata, langkah itu adalah alternatif kepada tindakan kuarantin dalam usaha mengukuhkan kembali kesalinghubungan udara dunia.
Pihaknya akan bekerjasama dengan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) dan pihak berkuasa kesihatan untuk melaksanakan penyelesaian ini dengan segera, menurut persatuan itu.
IATA berkata, perjalanan antarabangsa susut 92 peratus berbanding angka pada 2019 sejak pandemik dan tempoh separuh pertama juga telah berakhir sejak kesalinghubungan global terjejas susulan negara-negara menutup sempadan masing-masing bagi membendung penularan Covid-19.
Beberapa kerajaan membuka kembali sempadan namun berhati-hati, bagaimanapun perjalanan menjadi terhad memandangkan tindakan kuarantin menjadikan perjalanan tidak praktikal atau perubahan yang kerap ke atas langkah Covid-19 menyebabkan perancangan tidak mungkin dilakukan.
Ketua Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif IATA, Alexandre de Juniac (gambar) berkata, kunci untuk mengembalikan kebebasan bergerak merentasi sempadan adalah ujian Covid-19 yang sistematik bagi semua penumpang sebelum berlepas.
“Ini akan memberi keyakinan kepada kerajaan untuk membuka sempadan negara mereka tanpa model risiko yang rumit yang melihat perubahan berterusan dalam peraturan yang dikenakan ke atas perjalanan.
“Ujian ke atas semua penumpang akan memberi kembali kebebasan kepada semua pihak untuk melakukan perjalanan dengan yakin sekali gus berjuta-juta orang akan kembali bekerja,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, kos ekonomi susulan terjejasnya kesalinghbungan global menjadikan pelaburan dalam penyelesaian ujian untuk pembukaan sempadan menjadi keutamaan setiap kerajaan.
IATA berkata, kaji selidik pendapat umum yang dilaksanakannya menunjukkan sokongan yang kuat untuk ujian Covid-19 dijalankan dalam proses perjalanan.
Sebanyak 65 peratus penumpang bersetuju kuarantin seharusnya tidak diperlukan jika seseorang disahkan negatif Covid-19.
Tinjauan itu juga menunjukkan 84 peratus setuju bahawa ujian perlu dilakukan ke atas semua pelancong dan 88 peratus juga bersetuju untuk menjalani ujian berkenaan sebagai sebahagian proses perjalanan.
Selain membuka sempadan, kaji selidik pendapat umum itu juga mendapati ujian tersebut akan meningkatkan semula keyakinan penumpang terhadap penerbangan.
Responden tinjauan berpandangan pelaksanaan ujian Covid-19 untuk semua penumpang berkesan untuk membuat mereka berasa selamat dan langkah kedua adalah pemakaian pelitup muka.
Ketersediaan ujian Covid-19 yang cepat merupakan antara tiga perkara utama yang akan ditekankan pelancong untuk memastikan jaminan perjalanan selamat (selain ketersediaan vaksin atau rawatan Covid-19).
Gesaan IATA adalah supaya ujian yang dibangunkan memenuhi kriteria kepantasan, ketepatan, kemampuan dan kemudahan penggunaan, dan yang dapat dilakukan secara sistematik di bawah pihak berkuasa kerajaan berdasarkan piawaian antarabangsa yang dipersetujui.
IATA berusaha untuk merealisasikannya melalui ICAO, yang menerajui usaha membangunkan dan melaksanakan piawaian global bagi pengoperasian perkhidmatan udara antarabangsa yang selamat dalam keadaan pandemik Covid-19, menurut persatuan itu.
Ujian Covid-19 sebelum berlepas adalah pilihan utama memandangkan ia akan mewujudkan persekitaran ‘bersih’ sepanjang proses perjalanan.
Ujian sewaktu ketibaan akan menjejaskan keyakinan penumpang berikutan kuarantin yang berpotensi di destinasi jika keputusan positif, menurut IATA.- Bernama