KUCHING: Kerajaan Sarawak akan memberikan bantuan bayaran sebanyak RM60 setahun kepada pencarum yang mendaftar dengan Caruman Sukarela Insentif atau i-Suri dibawah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, perkara ini secara prinsipnya dipersetujui oleh Kerajaan Sarawak bagi membantu rakyat negeri ini iaitu pencarum yang berada dalam golongan miskin, miskin tegar dan B40.
“Namun perkara ini masih lagi dalam perbincangan dan akan diketengahkan semula dalam perbincangan mesyuarat kerajaan negeri akan datang bagi mengesahkan pemberian bantuan ini,” ujar Fatimah semasa sidang media selepas kunjungan hormat KWSP Sarawak dipejabat beliau di sini, semalam.
Fatimah berkata, Program i-Suri dilihat sebagai satu program yang memberikan faedah terutamanya kepada golongan miskin, miskin tegar dan B40 berdaftar dengan e-Kasih.
“Di Sarawak, senario golongan ini adalah golongan yang mendaftar dengan e-Kasih iaitu seramai 66120 orang telah mendaftar.
“Dari jumlah ini, seramai 25813 orang mendaftar sebagai pencarum di bawah i-Suri manakala seramai 37784 orang lagi belum mendaftar.
“Oleh itu, kita menggesa pihak yang masih belum mendaftar untuk segera mendaftarkan diri mereka bagi membolehkan mereka juga menerima bantuan caruman daripada Kerajaan Sarawak ini,” kata Fatimah.
Fatimah memberitahu selain daripada Kerajaan Sarawak, Kerajaan Persekutuan turut menyumbang insentif caruman sebanyak RM480 setahun ke dalam akaun pencarum i-Suri.
“Kita melihat program ini sangat bermanfaat bagi mereka ini kerana terdapat faedah lain seperti khairat kematian sebanyak RM2,500 dan juga bantuan kemalangan sebanyak RM500.
“Justeru, kita galakkan rakyat kita yang berdaftar dengan e-Kasih untuk menyertai program ini kerana selain mendapat faedah tersebut, mereka juga dapat membuat simpanan bagi kegunaan hari tua mereka nanti.
“Meskipun Sarawak telah menawarkan untuk membayar RM60 setahun iaitu jumlah maksimum bayaran caruman setahun, mereka masih boleh membayar caruman mengikut kemampuan mereka dan ia akan dapat menambah kadar dividen serta simpanan mereka nanti,” jelas Fatimah.
Mengulas lanjut, Fatimah berkata, pihaknya berhadapan dengan cabaran untuk meuar-uarkan kepada rakyat yang mendaftar dengan e-Kasih untuk mendaftar dengan i-Suri.
“Berdasarkan pengalaman kita, untuk mendapatkan mereka tampil ke hadapan adalah sukar kerana ada di antara mereka yang bertukar alamat dan susah untuk dihubungi.
“Cabaran kedua pula adalah kita jangkakan ada di antara rakyat kita yang belum mendaftar dengan e-Kasih sedangkan mereka adalah dalam golongan miskin.
“Oleh itu, kita mahu mereka mendaftar dengan e-Kasih supaya tidak terpinggir dan terlepas dari mendapat bantuan.
“Pihak kementerian juga akan memastikan isu ini dapat diatasi dan rakyat kita yang susah dapat dibantu dan didaftar sebagai pencarum dengan i-Suri,” tegas Fatimah.
Oleh Alexandra Lorna