JAKARTA: Hutang luar Indonesia mencecah AS$427.8 bilion pada suku ketiga tahun ini, mencatatkan kenaikan 8.3 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas, menurut Bank Indonesia pada Jumaat, seperti yang dilaporkan Xinhua.
“Penambahan hutang luar ini terutamanya dipengaruhi oleh nilai dolar AS berbanding kebanyakan mata wang global, termasuk rupiah.
“Selain itu, sektor awam juga memberikan sumbangan signifikan kepada kenaikan ini,” kata Ramdan Denny Prakoso, Pengarah Eksekutif Jabatan Komunikasi Bank Indonesia, dalam satu sidang media di Jakarta.
Walaupun mencatatkan peningkatan, Prakoso menegaskan bahawa paras hutang luar masih dapat dikendalikan, seperti yang ditunjukkan dalam nisbah hutang luar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Indonesia, yang berada pada 31.1 peratus.
Sebahagian besar hutang itu adalah jangka panjang, mencakupi 84.2 peratus daripada jumlah keseluruhan.
“Bagi memastikan struktur hutang luar yang kukuh, kerajaan terus meningkatkan koordinasi dalam memantau perkembangan pengurusan hutang.
“Kami komited untuk mengekalkan kredibiliti dengan memenuhi obligasi pembayaran prinsipal dan faedah tepat pada masanya.
“Pendekatan kami terhadap pengurusan hutang luar tetap berhemat dan bertanggungjawab, bertujuan mencapai pembiayaan yang paling efisien dan optimum,” katanya. – Bernama – Xinhua