
LAWAT...Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan melawat tapak Ekspo Hasil Hutan Bukan Kayu (NTFP) sempena sambutan Hari Hutan Antarabangsa 2026 Peringkat Sarawak di Miri hari ini.
MIRI: Hutan kini bukan lagi sekadar sumber kayu balak, sebaliknya muncul sebagai aset ekonomi baharu yang mampu menjana perdagangan karbon, teknologi hijau dan industri bernilai tinggi di Sarawak.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, perubahan landskap ekonomi global menjadikan pengurusan hutan secara lestari sebagai antara faktor penting dalam menarik pelaburan antarabangsa.
Menurutnya, dunia kini bergerak ke arah ekonomi hijau dan rendah karbon, sekali gus menyebabkan aspek Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) semakin diberi perhatian oleh pelabur global.
“Hutan hari ini mempunyai nilai ekonomi baharu yang semakin berkembang meliputi perdagangan karbon, bioekonomi, tenaga biojisim, ekopelancongan, penyelidikan biodiversiti dan pembayaran untuk perkhidmatan ekosistem.
“Negara atau wilayah yang berjaya mengurus hutannya secara lestari akan mempunyai kelebihan besar dalam ekonomi global masa depan,” katanya.
Awang Tengah berkata demikian ketika merasmikan sambutan Hari Hutan Antarabangsa 2026 Peringkat Sarawak di sini hari ini.
Katanya, Sarawak kini memberi tumpuan kepada pembangunan industri hiliran kayu bernilai tinggi termasuk perabot moden, produk kayu berkejuruteraan dan bahan binaan berteknologi tinggi bagi meningkatkan nilai eksport negeri.
Pada masa sama, beliau berkata Sarawak turut meneroka potensi besar ekonomi karbon berikutan keluasan hutannya yang kaya biodiversiti.
“Kita mahu memastikan sumber karbon Sarawak diurus secara telus, saintifik dan berintegriti tinggi supaya manfaat ekonomi daripada pasaran karbon dapat dikongsi bersama rakyat,” katanya.
Menurut beliau, Sarawak juga memperkukuhkan kerjasama dengan institusi penyelidikan tempatan dan antarabangsa dalam bidang biodiversiti, perubahan iklim serta teknologi hijau.
Oleh Liong Chai Ling