KUCHING: Hospital Umum Sarawak (HUS) perlu mempunyai jumlah perjawatan yang setara dengan hospital berkapasiti sama di Semenanjung Malaysia bagi memastikan keupayaan perkhidmatan kesihatan, khususnya rawatan kritikal, terus diperkukuh.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, HUS yang mempunyai kira-kira 1,000 katil kini disokong sekitar 4,500 kakitangan, berbanding kira-kira 5,500 kakitangan di hospital berkapasiti sama di Semenanjung Malaysia.
Katanya, jurang jumlah tenaga kerja itu perlu diberi perhatian kerana hospital yang mempunyai kapasiti sama memerlukan bilangan kakitangan yang setara bagi memastikan operasi serta penyampaian perkhidmatan kesihatan dapat dilaksanakan secara optimum.
“Kalau hospital itu mempunyai 1,000 katil, sama ada di Kuching atau di Semenanjung Malaysia, jumlah kakitangannya sepatutnya setara.
“Jika hospital berkapasiti sama di tempat lain mempunyai 5,500 kakitangan, mengapa HUS hanya mempunyai kira-kira 4,500?” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Persidangan Rawatan Kritikal Sarawak 2026 di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Menurut Dr Sim, kekurangan tenaga kerja bukan sahaja memberi kesan kepada Unit Rawatan Rapi (ICU), malah menjejaskan keseluruhan operasi hospital.
Sehubungan itu, beliau menggesa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) meneliti semula keperluan perjawatan di Sarawak bagi memastikan jumlah jawatan yang diwujudkan benar-benar sepadan dengan keperluan perkhidmatan kesihatan di negeri ini.
Katanya, isu mendapatkan tenaga kerja untuk berkhidmat di Sarawak juga perlu dilihat secara menyeluruh kerana usaha mengisi kekosongan tidak dapat dilaksanakan sekiranya jawatan berkenaan tidak diwujudkan terlebih dahulu.
Dalam perkembangan berkaitan, Dr Sim yakin perkhidmatan rawatan kritikal di Sarawak berupaya mencapai kedudukan antara yang terbaik di rantau Asia Pasifik sekiranya menerima sokongan dan sumber yang mencukupi.
Beliau berkata, pencapaian Pusat Jantung Sarawak yang berjaya menempatkan diri dalam kelompok institusi kardiologi terbaik di Asia Pasifik membuktikan keupayaan negeri itu membangunkan institusi kesihatan bertaraf antarabangsa.
“Di Sarawak, kita mempunyai kemampuan untuk melakukannya kerana kekuatan kita terletak pada tenaga kerja. Walaupun berdepan kekangan sumber dan kakitangan, pasukan ICU tetap memberikan yang terbaik.
“Saya berharap suatu hari nanti, dengan semangat yang sama, ICU kita juga mampu berada dalam kelompok 100 terbaik di Asia Pasifik,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Program Persidangan Rawatan Kritikal Sarawak 2026, Dr Rachel Chin Wei Ven berkata, seramai 2,975 pesakit di HUS memerlukan bantuan ventilator pada 2025, meningkat berbanding hampir 2,300 pesakit pada 2020.

Katanya, peningkatan itu menunjukkan keperluan terhadap perkhidmatan rawatan kritikal terus bertambah dan memerlukan kesiapsiagaan tenaga kerja serta kemudahan yang sepadan.
Menurutnya, Unit Rawatan Kritikal Perubatan HUS yang ditubuhkan pada 2025 kini berkembang menjadi unit berkapasiti 13 katil bagi mengendalikan pesakit dalam keadaan kritikal.
Persidangan Rawatan Kritikal Sarawak 2026 yang berlangsung selama dua hari itu mengangkat tema “Pencapaian Rawatan Kritikal Sarawak: Simfoni Penyatuan Minda, Menyelamatkan Nyawa”, dengan membincangkan pelbagai aspek penjagaan kritikal secara menyeluruh.
Antara topik yang diketengahkan ialah pengurusan resusitasi akut, pengurusan cecair dan hemodinamik, sokongan organ serta pengurusan penyakit berjangkit.





